F Seniwati Mak Nani bintang sepanjang zaman | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Seniwati Mak Nani bintang sepanjang zaman

BERBUAL bersama seniwati ini mengimbau zaman kegemilangan Jalan Ampas, Show Brothers dan juga Cathay Keris. Lenggok bicaranya masih sama seperti zaman itu. Itulah  Seniwati Datuk Rosnani Jamil. Mesra disapa Mak Nani, beliau bukan calang-calang orangnya.

Wanita kental ini sebenarnya seorang pelakon, penulis skrip, pengarah dan juga penerbit filem. Tidak hanya itu, Mak Nani pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman dan juga tatarias di London pada 1972 selama dua tahun.

Jika diimbau perjalanan seninya, Mak Nani menunjukkan kesungguhan untuk menjadi bintang filem dengan menyertai uji bakat.

“Jika nak guna orang dalam, sudah pasti pakcik saya (Allahyarham Malek Sultan) boleh tolong. Tapi, saya nak tengok sendiri kemampuan saya.

“Ketika itu, mereka cari pelakon untuk watak seorang ibu bagi filem Jasmin. Masa pergi tu, saya pakai pakaian ala ibu-ibu dan berikan apa yang termampu. Akhirnya saya berjaya dan mulalah episod bergelar anak seni,” katanya yang mula berlakon seawal usia 18 tahun.

Selepas filem Jasmin, tawaran untuknya datang tanpa henti. Selepas satu filem kepada filem lain hinggalah filem Seri Mersing yang meletakkan namanya segah nama pelakon wanita lain.

“Setiap hari adalah proses pembelajaran untuk saya. Setiap watak yang diberikan adalah ilmu baharu.

“Kami tiada pendidikan khas dalam bidang ini. Apa yang kami buat adalah usaha kami sendiri untuk mantapkan diri,” jelas balu kepada Allahyarham Datuk Jamil Sulong ini.

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu pada mulanya tidak direstui keluarga memandangkan Mak Nani hanyalah bintang filem. Namun kesungguhan pasangan ini membina kerjaya dan rumah tangga, akhirnya mereka antara pasangan yang diberi julukan 'ideal sepanjang zaman'.

“Arwah suami memang pengarah tersohor dulu. Tetapi, beliau tidak pernah mengajar saya untuk berlakon jauh sekali mengambil saya sebagai pelakonnya.

“Jika pun ada saya berlakon di bawah arahannya, itu kehendak produser. Tetapi saya bersyukur, dengan ketegasan beliau di set, saya dapat berdikari dan sentiasa merujuk kepada orang lain untuk menuntut ilmu,” katanya.

Anak wayang dihina

Bercerita mengenai kehidupannya sebagai pelakon, Mak Nani berkata, era1960-an, pelakon dipanggil anak wayang.

Biarpun dilihat seperti glamor dan kaya, tetapi tidak ramai yang tahu, anak wayang ketika itu sering dihina.

“Kami dilabel macam-macam seolah-olah kerjaya anak wayang ini tidak bagus. Bukan saya sahaja, malah rakan-rakan seperjuangan  menerima nasib sama. Anak-anak kami semua turut terkena tempiasnya.

“Kerana itu, saya dan suami berpindah dari kuarters Jalan Boon Teck. Bagi saya, anak-anak tanggungjawab kami sebagai ibu bapa. Kalau kami mahukan yang terbaik, kami perlulah berkorban,” kata ibu kepada tujuh anak ini.    

Terbit filem

Selepas tamat pengajian di London, Mak Nani bekerja di RTM di bahagian pengelola alih suara.

“Saya banyak buat alih bahasa dan suara untuk filem-filem dari luar negara.

“Dalam masa sama, ada juga berlakon sikit-sikit. Cuma saya lebih senang bekerja tetap begini. Saya ada masa untuk anak-anak dan keluarga.

“Saya juga mula belajar penulisan skrip dan cara penerbitan filem. Bagi saya, seorang anak seni itu perlu kuasai banyak cabang seni. Tidak hanya tahu berlakon atau menyanyi, malah ada banyak cabang lain yang perlu diselusuri,” katanya.

Menubuhkan syarikat sendiri, RJ Filem, Mak Nani bertindak sebagai penerbit serta pengarah untuk filem pertamanya Mawar Merah lakonan Raja Ema dan Allahyarham Mustaffa Noor.

“Alhamdulillah, filem itu mendapat pengiktirafan dan diiktiraf pada Festival Filem Malaysia (FFM) menerusi beberapa kategori lakonan dan teknikal.

“Selepas itu, saya meneruskan lagi dengan filem-filem lain. Ada yang saya turut berlakon dan ada yang saya hanya bertindak sebagai pengarah,” katanya.

Filem terakhir di pawagam

Minatnya pada bidang seni masih kuat. Buktinya, Mak Nani bakal muncul dengan filem terbarunya Mawar Putih yang akan menjengah pawagam sekitar Ogos depan.

“Itu adalah filem terakhir yang mana skripnya pernah dilihat Allahyarham suami. Mawar Putih berbeza dengan filem pertama saya. Kos ini juga adalah daripada peninggalan Allahyarham suami.

“Mungkin ini menjadi filem terakhir saya memandangkan saya sudah pun berumur 81 tahun. Harapnya karya akhir ini dapat memberikan kepuasan pada semua,” katanya.

Antara filem lain yang diterbitkan adalah seperti Bicara Hati, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Cheritera, Cinta Rosevilla, Amok, Azizah The Legend, Suara Kekasih dan banyak lagi.
Powered by Blogger.