F Semuanya kerana ayah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Semuanya kerana ayah

PENGLIBATANYA dalam dunia sastera bukanlah baharu, malah sejak kecil lagi dia sudah diperkenalkan dengan pelbagai penulisan.

Pendorong utamanya dalam bidang ini adalah ayahnya yang bertindak sebagai 'guru' melihat graf peningkatan penulisannya.

Empunya nama Norfazlina Hishamuddin ini berkata, bapanya mendorongnya melibatkan diri dalam bidang ini sejak kecil lagi.

“Abah adalah individu yang mencambahkan rasa suka dan sayangkan sastera dalam diri saya.

“Kami adik-beradik diminta menulis karangan setiap bulan, mengenai apa saja termasuklah pengalaman, sahabat, alam, kasih sayang atau perasaan untuk diluahkan di atas kertas,” katanya.

Wanita berusia 37 tahun ini mengakui, bapanya merupakan insan bertanggungjawab membawanya masuk ke dalam dunia sastera.

Menariknya, pemilik nama pena Fazleena Hishamuddin ini memberitahu, karangan terbaik akan digantung di dinding rumah mereka dan layak memenangi ganjaran yang ditawarkan ayahnya.

“Selalunya sayalah yang akan menang. Antara hadiah yang pernah saya dapat adalah kasut sukan, raket dan buku.

“Kenangan itu tak mungkin saya lupakan, kerana ia merupakan titik tolak kepada minat saya terhadap sastera sehingga hari ini,” katanya.

Tidak hanya di rumah, sebaliknya minatnya terus disemai dan dipupuk di peringkat sekolah.

“Di sekolah saya amat meminati pelajaran Bahasa Melayu dan kesusasteraan.

“Ketika di universiti saya mengambil jurusan Sains Sosial dan Kemanusiaan dengan major Kesusasteraan Melayu.

“Malah saya sendiri aktif menerusi Kelab Teater - Teater Rimba Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Perkara ini sekaligus menggerakkan saya ke arah cabang seni dan sastera secara serius,” kata pemilik Sarjana Psikologi Kaunseling ini.

Tambahnya, walaupun pernah bergelar kaunselor dan bekerja di syarikat pengiklanan tetapi minatnya terhadap sastera mengatasi kerjaya tersebut sehingga dia memutuskan untuk memberi fokus kepada bidang sastera sahaja.

“Saya tekad berhenti kerja pada 2009 dan menjadi penulis bebas sepenuh masa.

“Saya menulis skrip untuk iklan, video korporat, program TV, drama serta artikel di laman web.

“Selain itu saya juga menjadi pengacara, pelakon teater, pengarah filem pendek dan terlibat dalam pengurusan projek-projek seni,” katanya yang turut menerbitkan kumpulan puisi berjudul Seksi Ovari dan Bibir Ceri Melati.

Selain itu, Fazleena juga berkolaborasi dengan beberapa penulis dalam buku Laki Garden.

Tubuh kugiran

Jiwa sasteranya tidak terhad kepada penulisan sahaja, sebaliknya Fazleena menubuhkan kugiran puisi bagi melebarkan minatnya itu.

“Kugiran ini diberi nama Fazleena and The Lasykar. Kami mempersembahkan lagu-lagu puisi kontemporari dan aktif mengadakan persembahan di seluruh Malaysia,” katanya.

Cakera padat puisi kumpulan ini juga telah diterbitkan.

Berkongsi misi dan objektifnya dalam berkarya, jelasnya, setiap individu mempunyai perspektif berbeza.

“Saya menulis untuk mengenal diri dan berkongsi cerita. Sekiranya orang terkesan dengan cerita saya, itu satu bonus.

“Perjuangan saya dalam bidang puisi untuk membawakan kesegaran dalam bentuknya. Ia penting supaya masyarakat tidak memandang puisi sebagai satu medium yang bosan,” katanya.

Tambahnya, dia juga cuba untuk tidak berada dalam satu-satu bidang seni saja.

“Saya suka mencuba dan selalu pastikan percubaan itu bersungguh-sungguh.

“Sebab itu sehingga hari ini saya masih meneroka pelbagai bidang seni. Bagi saya, sementara kita masih kuat dan punya waktu, tidak salah untuk mencungkil potensi diri,” katanya mahu dikenali sebagai penulis yang versatil.

Walaupun bermula dengan penulisan puisi tetapi Fazleena berbangga kerana permulaan tersebut membawanya menjadi penulis cerpen, artikel, iklan, filem pendek dan program TV.

“Seorang penulis yang baik seharusnya boleh menulis dalam pelbagai genre. Itu yang saya sedang saya usahakan dan perjalanannya masih jauh,” katanya.

Bercerita mengenai ilhamnya dalam menginterpretasikan karya-karyanya pula, kata Fazleena, dan ilham datang daripada pelbagai cara.

“Tiada istilah ‘writers block’ untuk seorang penulis. Ia cuma mahu atau tidak, malas atau rajin. Sumber ilmu dan inspirasi boleh didapati di mana-mana.

“Dunia menjanjikan banyak perkara untuk diteroka. Antara yang saya selalu lakukan untuk mencari inspirasi ialah dengan banyak membaca dan itu yang paling penting. Selain itu dengan menonton filem, teater, mengembara melihat budaya orang lain dan banyak lagi,” katanya.

Jangan bezakan sastera perdana, alternatif

Sebagai penggiat sastera, Fazleena turut mempunyai tanggapan sendiri mengenai bidang sastera.

“Mungkin ada yang mengatakan saya penulis indie alternatif. Ya, saya mengaku bermula dengan scene indie dan menulis dengan penerbitan alternatif. Saya bangga bermula dari sini.

“Saya melihat sastera dari sudut yang berbeza. Pada pendapat saya, sastera dan bahasa harus berkembang. Itu tidak bermakna saya meminggirkan pembacaan sastera perdana.

Saya membesar membaca karya-karya sasterawan negara. Sehingga kini saya masih belajar pergi ke bengkel penulisan untuk menulis dengan lebih baik. Belajar daripada yang sepatutnya di samping menghantar karya-karya saya ke laman-laman media untuk menerima komentar khalayak yang lebih luas,” katanya.

Akuinya, sastera perdana atau sastera alternatif tidak boleh dibeza-bezakan.

“Perbandingan itu tak menghasilkan apa-apa. Sastera perdana atau sastera alternatif, sama saja. Tujuannya tetap untuk menggalakkan pembacaan di kalangan masyarakat.

“Kita sebagai pembaca berhak memilih mana karya yang mahu dibaca. Justeru perkara ini sepatutnya tiada perbalahan. Polemik sastera antara indie atau perdana, sepatutnya tidak wujud. Meraikan kepelbagaian itu lebih manis,” katanya.

Sedikit perkembangannya dalam bidang sastera, Fazleena kini sedang mengumpulkan cerpen-cerpen dan sedang menulis beberapa lagi bagi melengkapkannya dalam sebuah antalogi.
“Saya masih belum sempat membuat keputusan mahu menghantar ke penerbitan arus perdana atau indie.

“Saya juga sedang perlahan-lahan menulis novel pertama saya,” katanya.


Profil
- Pemenang Pelakon Harapan Terbaik di Festival Teater antara Universiti MAKUM 2004.
- Penerima Anugerah Khas Juri di Anugerah Seni UKM 2004, atas penglibatan dalam Kelab Teater Rimba UKM
- Anugerah Bakti Rimba 2004
- Anugerah Skrip Terbaik (kategori eksperimental) di Anugerah Filem Pendek Finas & RTM 2006
- Naib Johan di Festival Teater Kuala Lumpur 2007, sebagai penulis skrip dan pelakon.
- Pemenang Anugerah Juri di Anugerah Karyawan Muda RTM-Finas 2009
- Pemenang Pelakon Terbaik di Anugerah Kreatif Visual 2012
- Pemenang Persembahan Kumpulan Terbaik di Anugerah Boh Cameronion Award 2013, anjuran Kaki Seni
- Nominasi Pengarah Terbaik di Anugerah Boh Cameronion Award untuk Kategori Teater 2016, Teater Kota Kelip-Kelip lakonan 10 orang anak-anak yatim seliaan TFTN.
Powered by Blogger.