F 'Semangat ibu' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Semangat ibu'

Pentas akhir program Gempak Superstar 2016 melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan menyaksikan pelakon, Siti Elizad muncul juara.


Pelakon drama Teman Lelaki Upahan ini berjaya mengetepikan empat peserta lain yang juga pelakon terdiri daripada Sherry Ibrahim, Arja Lee, Soffi Jikan dan Nazim Othman.

Selepas enam minggu beraksi, Elizad yang sebelum ini mendapat kritikan pedas daripada juri tetap, Fauziah Ahmad Daud berjaya membuktikan kemampuannya.

Elizad, 32, berkata, dia sengaja memberi fokus dari segi lakonan memandangkan mutu nyanyiannya jauh ketinggalan berbanding peserta lain.

“Saya dimaklumkan 30 peratus mewakili vokal dan 70 peratus lagi persembahan membabitkan penjurian juri tetap. Jadi, sebab itu saya memberi fokus kepada lakonan dan persembahan. Pada masa sama saya mahu menghilangkan darah gemuruh.

“Jika perasan, setiap minggu saya tampil dengan persembahan berbeza. Pendek kata saya ‘all out’. Dari segi vokal pula, sedap atau tidak nyanyian saya itu adalah kelebihan masing-masing,” katanya.

Tidak dinafikan juga, Elizad antara peserta kegemaran penonton apabila sering mendahului peserta lain dari segi peratusan undian.

Bagaimanapun, Elizad tidak dapat memastikan sama ada jumlah keseluruhan markah sebanyak 64 peratus itu lebih banyak daripada undian penonton atau sebaliknya.

“Saya tidak terfikir pun nak jadi juara. Sepanjang program ini saya hanya nak membina watak dalam persembahan. Saya sudah tetapkan dalam fikiran yang mana nak banyak bermain watak. Saya bersyukur dikelilingi orang-orang hebat, jadi saya mendapatkan tunjuk ajar daripada mereka,” katanya.

Meminjam semangat arwah ibunya yang meninggal dunia sejak 2011, Elizad mendedikasikan persembahan akhir itu buat arwah.

“Selama tujuh tahun saya menjaganya dan kami berulang-alik ke hospital sebelum ibu meninggal dunia. Semasa hayatnya, dia sentiasa ingin melihat saya di kaca televisyen. Jadi, apabila dia sudah tiada memang sedikit terkilan, apatah lagi tidak dapat melihat kejayaan saya ini.

“Apa pun, saya puas kerana dapat membuat persembahan khas untuk arwah ibu. Saya percaya semangat ibu ada dalam diri ini. Kejayaan saya ini adalah untuknya,” katanya.

Kemenangan Elizad itu sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.

“Insya-Allah wang ini saya mahu gunakan untuk kos perubatan ayah yang mempunyai masalah penglihatan.

Sudah banyak kali dia menjalani pembedahan, namun matanya masih kabur. Jadi saya mahu mencari alternatif lain,” katanya.

Berkenaan kerjaya nyanyiannya, Elizad tidak menolak sekiranya mendapat tawaran daripada mana-mana syarikat rakaman atau komposer yang mahukan dia bergelar penyanyi.

Pada pentas akhir itu, Elizad menyanyikan dua lagu berjudul Makhluk Tuhan Paling Seksi nyanyian asal Mulan Jameela dan Ketulusan Hati daripada Anuar Zain.

Tempat kedua menjadi milik Sherry Ibrahim dengan markah keseluruhan sebanyak 51 peratus, tempat ketiga Arja Lee dengan markah sebanyak 50 peratus, keempat adalah Soffi Jikan sebanyak 45 peratus dan terakhir menjadi milik Nazim Othman dengan markah 42 peratus.

Saingan terdekat

Bagi Sherry Ibrahim yang menjadi pesaing terdekat Elizad pada setiap minggu menyifatkan kemenangannya itu adalah rezeki.

“Saya tidak kisah menang atau kalah. Ini kerana berada di pentas akhir pun sudah memadai. Bukan apa, selama ini saya tidak berpeluang menonjolkan bakat nyanyian, jadi program ini adalah platform terbaik saya.

“Saya tidak sangka boleh lakukan semua ini. Setiap kali selepas habis persembahan saya akan menangis. Insya-Allah selepas ini saya akan teruskan kerjaya nyanyian,” katanya.

Bagi mengotakan janjinya, Sherry akan muncul dengan single tidak lama lagi.

Malah, pihak pengurusannya juga bercadang membawa Sherry ke pentas pertandingan antarabangsa iaitu Asian Wave.

Sherry yang menyanyikan lagu Tak Ada Logika dan Janji Manismu berjaya memukau penonton dengan vokal mantapnya.

Sebagai naib juara, Sherry membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Sementara itu, Arja Lee yang sebelumnya berada di tangga terbawah tidak menyangka meraih tempat ketiga dan menerima wang tunai sebanyak RM15,000 berserta trofi.

“Ini kali kelima saya menyertai program realiti dan kali kedua menampakkan hasil. Saya tidak pernah mengambil serius pun perkara itu kerana mempunyai

fokus tersendiri dalam kerjaya.

“Hebat tidak perlu popular kerana saya mahu menjadi yang berkualiti. Saya lebih gembira jika dikenali dengan kredibiliti dan bakat dimiliki. Populariti itu tidak perlu dicipta sebaliknya boleh datang dengan sendirinya.

“Pada masa sama, saya tak gusar berada di tempat ketiga kerana di mata juri saya menang setiap minggu. Saya diberitahu sering mendapat markah tinggi daripada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Arja akan melancarkan single terbarunya berjudul Bintang Malam selepas ditunda bagi memberi laluan kepada program ini.
Powered by Blogger.