F Selepas Bunohan, Dain kembali dengan Interchange | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Selepas Bunohan, Dain kembali dengan Interchange

SETELAH filem Bunohan berjaya mencipta nama di persada dunia, seperti yang dijanjikan lebih tiga tahun lalu, pengarahnya, Dain Said kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Interchange.

Tidak kalah dengan Bunohan, filem genre ‘thriller’ itu dikatakan telah pun berjaya mencuri perhatian pihak luar.

Melalui satu kenyataan media, difahamkan Interchange mendapat perhatian pengedar filem antarabangsa, Reel Suspects yang berpangkalan di Paris untuk diedarkan di pasaran dunia.

Malah filem ini juga akan ditayangkan pada salah sebuah pasaran filem terbesar di dunia, Cannes Marché du Film.

Ketua Pegawai Eksekutif Reel Suspects, Matteo Lovadina menyifatkan filem seram seumpama itu sukar untuk dicari ditambah pula dengan ciri-ciri sains fiksyen, ghaib dan ‘noir’ yang dipaparkan.

Tiga tahun lalu, Bunohan mencipta nama dan membuka mata banyak pihak apabila filem itu diiktiraf di peringkat antarabangsa serta membolot lapan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-25  (FFM25) termasuk Filem Terbaik dan Dain sendiri diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik.

Namun di sebalik kemenangan itu, ada juga pihak yang melabelkan Bunohan sebagai filem yang mengetepikan aspek sosiobudaya serta mempunyai jalan cerita yang lemah.

Menyentuh soal Interchange, filem yang bakal menemui penonton di pawagam hujung tahun ini menampilkan pelakon-pelakon hebat tanah air dan dari Indonesia seperti Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Alvin Wong dan Chew Kin Wah.

Filem ini mengisahkan Detektif Man lakonan Shaheizy Sam bersama jurufoto jenayah Adam lakonan Iedil Putra terlibat dalam satu siri kes pembunuhan ngeri di sebuah bandar yang penuh dengan rahsia.

Kes kematian yang berlaku 5 bulan lalu amat mengerikan sehingga memberi igauan kepada Adam dan sejak peristiwa itu, Adam bersendirian di rumah dan meluangkan masa mengambil foto dari balkoni apartmennya.

Dari lensa kameranya, Adam mengintip Iva lakonan Prisia Nasution, seorang wanita menawan berasal dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke apartmen berhadapan dengan Adam.

Tatkala Adam dibawa masuk ke dalam dunia puak asli Iva, Man berjaya mengorek kes pembunuhan yang berlaku dan akhirnya berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik, ngeri dan dipenuhi dengan kepercayaan-kepercayaan dahulukala yang kembali hidup. Nantikan kisah selanjutnya di pawagam hujung tahun ini.
Powered by Blogger.