F Selepas 5 tahun, Hazama akhirnya genggam trofi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Selepas 5 tahun, Hazama akhirnya genggam trofi

Selepas lebih lima tahun berkecimpung di arena seni dan dicalonkan dalam pelbagai anugerah, baru kini Hazama berpeluang menggenggam trofi sulung sebagai penyanyi. Kejayaan itu dicapai pada Anugerah Pilihan Online, malam tadi, apabila beliau menewaskan Hafiz Suip, Faizal Tahir, Syamel dan Sufi dalam kategori Penyanyi Lelaki Terhebat. Sebelum ini, selain trofi juara Akademi Fantasia musim kesembilan (2011), kejayaan lain yang pernah digapai adalah pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2013 dalam kategori Kulit Album Terbaik untuk Penglipur Lara. Sejak memasuki dunia muzik secara serius, Hazama antara calon yang tidak pernah ketinggalan berentap dalam beberapa anugerah hiburan seperti Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Anugerah Planet Muzik, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Meletop Era dan AIM. Cuma, tuah nampaknya belum menyebelahi dirinya. "Hanya selepas lima tahun, inilah kali pertama saya menang anugerah. Saya amat bersyukur atas kemenangan ini dan terima kasih banyak-banyak saya ucapkan buat pengundi serta peminat. Trofi ini tentu saja menjadi semangat untuk saya terus berkarya," kata penyanyi Relakan Jiwa itu. Pada awal pembabitannya dalam seni, terbit juga sedikit rasa kecil hati apabila namanya kerap dicalonkan tetapi gagal membawa pulang sebarang anugerah. "Apabila dicalonkan pada awal-awak kerjaya seni dulu, sedikit sebanyak kita teringin juga hendak menang. Tetapi, apabila sudah lebih lima tahun, saya sudah imun dan tenang saja jika dicalonkan. Saya memang tidak terlalu berharap," katanya yang sekali lagi dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH 29. Hazama menyaksikan namanya dicalonkan dalam anugerah hiburan paling lama bertahan di Malaysia itu sejak lima tahun lalu, bermula dengan kategori Artis Baharu Lelaki Popular.


Powered by Blogger.