F 'Saya mesti balik awal' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Saya mesti balik awal'

Demi rumah tangga dan anak kecilnya, Muhammad Zeeshan Md Zhafran yang kini berusia lima bulan, pelakon Fouziah Gous sanggup melepaskan banyak tawaran berlakon kerana dia tidak mahu terlepas walau sedetik waktu pun untuk melihat anak sulungnya itu membesar di depan matanya.

Apatah lagi Zeeshan yang menyusu badan membuatkan pelakon berusia 34 tahun itu semakin sukar untuk berenggang dengan anaknya itu.

Bagi memastikan keselamatan anaknya, Fouziah tidak pernah menyerahkannya di bawah jagaan pembantu rumah.

“Saya tinggal bersama keluarga mentua, jadi jika saya dan Zhaf ada urusan di luar, ibu mentua akan menjaganya. Saya mula kurang berlakon sejak berkahwin kerana sebagai isteri saya ada tanggungjawab yang lebih besar.

“Keadaan itu terus berlarutan sehinggalah saya hamil dan melahirkan Zeeshan. Hati saya sentiasa teringatkan anak. Cuma, baru-baru ini saya berlakon dalam drama Strawberi Karipap Hello Hong Kong.

“Suami dan anak turut bersama saya di Hong Kong selama dua minggu. Ketika di lokasi penggambaran, Zhaf yang menjaga Zeeshan,” katanya.

Sebelum Ramadan, Fouziah dan Zhaf akan bercuti di New York, Amerika Syarikat selama dua minggu dan percutian yang sudah lama dirancang itu bagaimanapun tidak mengizinkan mereka membawa Zeeshan sekali.

“Setiap tahun kami akan bercuti berdua saja dan akan memilih satu destinasi istimewa. Kali ini saya terpaksa tinggalkan Zeeshan dengan neneknya dan tak tahulah macam mana saya nanti kerana terpaksa berjauhan lama dengannya,”katanya.

Ditanya mengenai penambahan ahli keluarga, Fouziah berkata, dia tidak kisah untuk hamil lagi dalam masa terdekat, tetapi buat masa ini Zhaf mahu memberi perhatian dan kasih sayang secukupnya kepada Zeeshan.

“Insya-Allah apabila usianya sudah setahun lebih atau dua tahun, bolehlah kami rancang untuk dapatkan anak kedua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, minat Fouziah terhadap dunia lakonan masih mendalam seperti dulu, namun dia tidak boleh balik lewat seperti ketika masih bujang.

“Saya mesti pulang awal. Bukan kerana Zhaf yang meletakkan peraturan itu, tetapi atas kerelaan saya sendiri. Daripada menyusahkan orang lain yang terpaksa mengikut jadual saya, lebih baik saya tolak tawaran yang datang.

“Memang sayang dan saya turut terbayangkan bayaran lakonan semua tawaran itu yang jika dijumlahkan semuanya memang lumayan, tetapi biarlah, keluarga mesti diutamakan,” katanya.

Pengorbanan Fouziah demi kebahagiaan rumah tangganya berbaloi apabila dia dilantik sebagai duta minuman kesihatan dan pelangsingan badan, Per’l Xlim keluaran Power Root selama dua tahun.

“Mereka beri saya cuba minuman pelangsingan itu ketika saya hampir melahirkan Zeeshan. Namun, ketika itu saya tidak berani mengambilnya kerana bimbang bahan dalam minuman itu akan memberi kesan kepada kandungan.

“Zhaf mencubanya dulu dan ternyata berkesan mengurangkan berat badan. Selepas dua minggu bersalin, barulah saya pula mengambilnya dan kandungan minuman itu seperti kacip fatimah memang sesuai untuk menjaga kesihatan dalaman wanita,” katanya.
Powered by Blogger.