F ‘Saya Melayulah... bukan orang putih’ | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

‘Saya Melayulah... bukan orang putih’

“Mana ada orang putih sini. Orang Melayu adalah...saya orang Melayu. Nak cari siapa?,” kata seorang lelaki ketika mahu ditemu bual wartawan Sinar Harian di Kampung Londah, di sini.

Melihat gaya yang nampak tidak kekok berbaju Melayu, berkain pelekat dan berkopiah, Mohammad Abdullah, 63, amat ramah bersalaman dengan penduduk membuatkan dirinya kelihatan tidak ubah seperti orang Melayu.

Bagaimanapun, warna kulit yang putih kemerahan serta anak matanya yang bukan hitam atau coklat gelap seperti seorang Melayu, membuatkan dirinya terang-terangan adalah orang putih.

Bagi Mohammad, dia sudah serasi dengan cara hidup masyarakat Melayu di kampung halaman isterinya, Rokiah Jaafar, 93, itu, lebih-lebih lagi mereka sudah pulang menetap di perkampungan berkenaan sejak dari 1985 lagi.

Malah, dia juga enggan memberitahu nama Inggerisnya sebelum memeluk Islam kerana baginya, orang lebih selesa dengan nama Islamnya.

“Saya memang suka bergurau. Jadi, jangan cepat terasa hati dengan saya.  Orang di sini (Gemas) sudah kenal dengan saya dan mereka juga sudah tidak pelik bila melihat saya bercakap bahasa Melayu,” katanya.

Menurutnya, dia juga gemar bersarapan dengan menu rutin rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan juga roti canai.

Malah, katanya, dia amat menggemari makanan berulamkan cili padi kerana baginya seleranya akan makin bertambah apabila menjamah makanan yang pedas.

“Tapi yang paling saya suka, makan roti bakar yang disapu marjerin tetapi ditambah cili padi,” katanya.



Peluk Islam di Sweden

Ketika ditanya mengenai sejarahnya, Mohammad yang kini bertaraf sebagai Pemastautin Tetap (PR) berkata, dia sebelum ini berasal dari Sweden dan bekerja dengan agensi kerajaan di sana.

Menurutnya, tugasnya itu menyebabkan dia bertemu dan bekerjasama dengan ramai orang Islam dari negara Timur Tengah juga Malaysia.

“Saya nekad memeluk agama Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan imam masjid di sebuah rumah di Sweden pada 1971.  Pada masa itu, Sweden hanya ada dua masjid. Sekarang sudah terdapat kira-kira 30 masjid di sana.

“Saya bertemu isteri pun dalam pengangkutan awam masa tahun 1979. Ketika itu, saya mahu pergi kerja dan Rokiah juga mahu pergi kerja sebagai jururawat.  Terus hati saya terpaut dan saya nekad untuk mengahwininya,” katanya.

Mohammad berkata, pada 1982, dia dan Rokiah pulang seketika ke Malaysia untuk mendaftarkan perkahwinan serta pulang ke kampung halaman isterinya di sini.

“Hati saya sudah terpaut untuk tinggal di sini.  Di Sweden pun saya berasal dari kawasan kampung dan di sini pun kampung.  Jadi saya sangat selesa tinggal di sini dan sangat seronok apabila saudara-mara isteri banyak menetap di sini dan menganggap saya sebagai keluarga mereka.

“Saya juga tidak ada masalah untuk pergi ke kenduri-kendara penduduk kampung. Saya suka pergi ke majlis seperti itu tapi tak adalah berkain pelekat seperti ini. Ini pakaian di rumah sahaja,” katanya sambil ketawa.



Suka bela kucing

Mengenai kehidupannya, Mohammad berkata, dia kini fokus mengusahakan tanaman kelapa sawit selepas projek tanaman padi yang cukup sinonim dengan perkampungan berkenaan tidak sesuai dijalankan di tanah berhampiran rumahnya.

Selain itu, Mohammad juga menghabiskan lebih masa menjaga isterinya yang kini kurang sihat.

“Malah, orang-orang di sekitar Gemas ini juga tahu saya sangat sukakan kucing sehingga ada antara orang yang tidak saya kenali sanggup meninggalkan kucing di hadapan pintu pagar rumah saya.

“Kali terakhir dua bulan lalu dan kini saya mempunyai kira-kira 20 ekor kucing.  Kos bagi menyediakan makanan kucing saja sudah mencecah RM400 sebulan.

“Dulu lagi banyak kucing tetapi banyak yang mati bila kena virus.  Saya tanam kucing-kucing ini berhampiran rumah,” katanya.

Mohammad berkata, walaupun kadang-kala berasa geram dengan sikap individu yang gemar membuang kucing terus ke rumahnya, dia tetap juga menjaga kucing-kucing berkenaan dengan baik.

“Tak apalah, saya dah selesa duduk sini. Tak kisahlah apa bangsa pun yang buang saya ambil dan jaga baik-baik.

“Bagi saya bila kita sudah menetap di negara orang, kita kena menghormati budaya dan cara hidup serta bercampur dengan masyarakat setempat,” katanya.
Powered by Blogger.