F Sam Claflin mahu cuba watak lain | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Sam Claflin mahu cuba watak lain

SEBAGAI pelakon, watak lelaki idaman wanita atau Don Juan merupakan karakter impian terutamanya dalam meraih populariti.

Namun, berbeza pula bagi aktor kacak, Sam Claflin atau nama sebenarnya, Samuel George Claflin.

Kata Claflin, situasi itu terjadi ekoran kekerapannya ditawarkan dengan watak sedemikian.

"Saya benci menjadi Don Juan. Saya mahukan watak yang lain.

"Akibatnya, saya bosan dan tertekan dengan industri perfileman Hollywood,” katanya kepada Digital Spy.

Anak kelahiran Ipswich, Suffolk, England ini mula mencipta nama selepas membintangi filem pecah panggung, Pirates Of The Caribbean: On Stranger Tides pada 2011.

Sejak itu, Claflin sering ditawarkan dengan karakter yang hampir serupa dalam setiap filem yang dibintanginya seperti Snow White and the Huntsman (2012), The Hunger Games: Catching Fire (2013), The Quiet Ones (2014), Love, Rosie (2014), The Hunger Games: Mockingjay – Part 1 (2014), The Hunger Games: Mockingjay – Part 2 (2015) dan The Huntsman: Winter’s War (2016).

Biarpun satu penghormatan, Claflin mengakui kemampuannya dalam bidang lakonan seolah-olah terbatas.

Malah, katanya, setiap tawaran yang diterima itu dipengaruhi oleh karakter yang dimainkan dalam filemnya sebelum ini.

"Selepas selesai melakukan satu bahagian, saya membuat satu lagi bahagian.

"Saya dianggap tidak boleh membawakan watak lain padahal saya boleh melakukannya.

"Bahkan, saya boleh berlakon," tegasnya.

Pada masa sama, aktor berusia 30 tahun ini berharap dapat kembali memegang watak seperti mana dalam filem The Riot Club (2014).

"Dalam filem itu, saya menjadi seorang pelajar yang suka membuli.

"Saya terpaksa melakukan kajian dengan mengadakan perjumpaan bersama pelajar dan guru.

"Ini kerana, saya bukanlah daripada dunia itu," katanya.

Atas dasar itu, aktor ini juga sangat berharap agar ditawarkan dengan watak antagonis dalam sesebuah filem.



Bergantung pada nasib?

Jika diselak kembali, perjalanan karier Claflin dalam industri Hollywood berkembang dalam kadar yang cepat.

Claflin tidak dilahirkan dalam keluarga seni, namun bakat seni dalam dirinya diasah selepas menghadiri London Academy of Music & Art Drama.

"Berada dalam industri ini sebenarnya terserah kepada nasib.

"Pada masa sama, saya juga perlu meletakkan diri dalam satu keadaan yang baik dan masa sesuai.

"Sedikit nasib baik disertai dengan kerja keras akan membantu dalam bidang ini," katanya.

Pun begitu, suami kepada aktres Laura Haddock ini mengakui bidang lakonan memberikan satu cabaran besar buatnya.

"Sebagai seorang pelakon, saya mesti membuktikan diri saya dalam banyak cara sekali gus belajar mengawal tekanan.

"Saya juga berharap, keyakinan saya akan terus meningkat supaya saya dapat meneruskan kerjaya ini," katanya.



Jadi lumpuh

Dalam perkembangan lain, Claflin kembali menjadi romantis menerusi filem terbaharunya, Me Before You.

Menerusi filem arahan Thea Sharrock itu, Claflin ‘disatukan’ dengan teraju utama filem Game of Thrones, Emilia Clarke.

Lebih teruja, wajah kedua pelakon ini turut dijadikan sebagai muka hadapan bagi versi bukunya nukilan Jojo Moyes.

"Muka kami di muka hadapan buku Me Before You!

"Wow, ia sangat menarik. Kita berjaya lakukannya," katanya.

Dalam filem daripada adaptasi novel popular berjudul sama itu, Claflin memainkan peranan sebagai William Traynor yang terlibat dalam satu kemalangan tragis sehingga mengakibatkannya lumpuh.

Me Before You mengisahkan seorang gadis di sebuah perkampungan kecil yang menjalin hubungan tanpa disedari dengan lelaki lumpuh yang dijaga olehnya.

Bagaimanakah kesudahannya? Nantikannya di pawagam menjelang 2 Jun ini.
Powered by Blogger.