F Rezeki Ramadan Rabbani | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Rezeki Ramadan Rabbani

Ramai sudah mula melakukan persiapan menyambut ketibaan Ramadan. Bagi kumpulan nasyid, Ramadan adalah bulan rezeki kerana tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan pelbagai pihak.

Tahun ini sekali lagi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melantik Rabbani menguruskan artis yang bakal menjayakan persembahan program Iftar@KL 2016. Kumpulan nasyid itu juga menggalas tanggungjawab sebagai rakan penyelaras untuk Pertandingan Nasyid Mentor Munsyid.

Mewakili Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, bagi memastikan pertandingan itu berjalan lancar, mereka melantik Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) sebagai pengelola.

Menurut Azadan, syarat penyertaan setiap kumpulan mesti ada empat hingga tujuh anggota, tidak ada percampuran jantina, lagu ciptaan sendiri dengan muzik minus one atau instrumental yang bertemakan Islam Itu Indah.

Juara akan membawa pulang RM7,000, naib juara (RM5,000) dan empat hadiah sagu hati RM1,000.

“Penganjuran kali ini lebih bersifat komersial dan berkonsepkan mentor-mentee. Enam mentor itu ialah saya sendiri selaku ketua juri, Razin Mestica, Munif Hijjaz, Suffian Saujana, Hazamin Inteam dan Hafiz Hamidun,” katanya.

Jelas Azadan lagi, pertandingan itu terbahagi kepada empat fasa di mana saringan pertama akan diadakan secara terbuka menerusi YouTube dan video. Kumpulan nasyid yang berminat menyertai pertandingan dikehendaki menghantar rakaman video ke mymunsyid@gmail.com sebelum 27 Mei ini.

Sebanyak 20 kumpulan terbaik saja terpilih bertanding di saringan pertama yang akan diadakan di Underground Dataran, Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 11 Jun, jam 2.30 petang.

“Dari situ, hanya 10 kumpulan terbaik sahaja layak mara ke semi final yang akan berlangsung pada 18 Jun, jam 2.30 petang.

“Mereka akan mendapat bimbingan mentor termasuk teknik nyanyian yang betul dan bagaimana mahu memastikan persembahan menarik.

“Final akan diadakan pada 25 Jun dengan setiap kumpulan dikehendaki menyampaikan dua lagu. Kami mahukan persembahan yang berkualiti dan mantap.

“Diharap apa yang kami usahakan ini serta ruang diberikan JKKN membuka hati penggiat seni untuk mengaktifkan lagi kesenian nasyid dengan menganjurkan program realiti TV bagi mencari pelapis genre ini pula. Suatu ketika dulu, nasyid pernah meraih pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara,” katanya.

Ujar Azadan lagi, sempena Iftar @ KL itu juga, akan berlangsungnya pelbagai aktiviti keagamaan di Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka malah JKKN turut memberi peluang kepada Rabbani mencari dana tambahan bagi menampung bajet program.

“Diharap ada badan korporat yang sudi menghulurkan bantuan kewangan. Bersedekah pada bulan Ramadan menjanjikan pahala berlipat ganda. Biasanya mereka beri sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang memerlukan tetapi janganlah abaikan kami yang menggerak dan mengembangkan dakwah,” katanya.
Powered by Blogger.