F Raja Afiq Jadi Pelakon Selepas Dua Tahun Kuruskan Badan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Raja Afiq Jadi Pelakon Selepas Dua Tahun Kuruskan Badan

Pelakon baharu Raja Afiq mendedahkan dia pernah mengalami masalah berat badan berlebihan sekali gus menutup peluangnya untuk mencapai impian bergelar seorang pelakon.

Afiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 22, berkata, atas dasar itu juga dia nekad untuk menguruskan badannya kerana dia sedar itu adalah satu-satunya jalan untuk dia menembusi industri seni.

"Saya memang minat untuk bergelar pelakon tetapi niat saya itu terhalang kerana masalah berat badan yang saya alami sejak zaman remaja lagi.

"Bagaimanapun saya sedar sekiranya ingin mencapai impian bergelar seorang pelakon saya perlu berusaha memperbaiki diri dan Alhamdulillah usaha tersebut akhirnya terbayar," katanya kepada mStar Online.

 Afiq yang dicungkil bakatnya menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2014 (DFKL2014) berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan duta Syukur Selalu dekat sini, baru-baru ini.

Selain Afiq enam pelakon lain turut terpilih sebagai duta kempen berkenaan iaitu Fasha Sandha, Janna Nick, Uqasha Senrose, Fattah Amin, Hafidz Roshdi dan Amar Asyraf.

Dalam pada itu, Afiq berkata, berat badannya pernah mencapai seberat 130 kilogram dan mengambil masa dua tahun untuk mendapat berat badannya sekarang iaitu 74 kilogram.

Jelas Afiq, meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sepanjang proses itu namun dia berasa bangga dengan pencapaiannya itu.

"Bukan sahaja saya dapat mencapai impian tetapi saya lebih cergas dalam melakukan aktiviti seharian dan berharap kisah saya ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain yang mempunyai masalah seperti saya," katanya.

Afiq berkata, selain banyak menghabiskan masa di pusat kecergasan dia juga mengamalkan diet protien bagi mempercepatkan proses pengurangan berat badannya.

"Sehingga hari ini saya tidak ambil sebarang makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat tinggi seperti nasi dan sudah terbiasa dengan keadaan itu.

"Saya perlu disiplin dalam senaman dan pemakanan kerana tidak ingin kembali seperti dahulu," katanya.

Malah kata Afiq, dia turut bekerja sebagai jurulatih kecergasan peribadi sebelum memulakan kariernya sebagai pelakon pada 2014.

Bercakap mengenai karier seninya, Afiq berkata, dia bersyukur kini mendapat lebih banyak peluang berlakon sejak menjuarai pertandingan lakonan DFKL2014.

Kata Afiq, DFKL telah membuka peluang kepadanya dan turut berterima kasih kepada penerbit Zeel Production iaitu Fadzil Teh yang mempercayai bakatnya dengan mengambilnya berlakon dalam telefilem berjudul Lilinkah Aku.

"DFKL banyak membuka peluang kepada saya dan Alhamdulillah produksi mula memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa watak utama dalam drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz menerusi slot Akasia di TV3.

"Masih banyak yang perlu saya belajar memandangkan saya pun masih baharu tetapi ia permulaan baik untuk saya," jelasnya.

Antara drama lakonan Afiq adalah Suami Sebelah Rumah, Cinta Illahi dan Hello Mr. Perfect.

Sementara itu, Afiq berkata, dia berharap dapat menjadi seorang pelakon yang bebas daripada sebarang kontroversi seperti mana berlaku kepada beberapa bintang baharu yang lain.

Kata Afiq, dia tidak kisah kariernya bermula perlahan daripada namanya melonjak ekoran isu panas kerana yakin kerjayanya tidak akan bertahan lama.
Powered by Blogger.