F Puas rakam aktiviti harian | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Puas rakam aktiviti harian

Sepanjang kembara seninya, Aizat Amdan, 27, berjaya membuktikan kemampuannya sehingga diiktiraf sebagai antara penyanyi terbaik tempatan.


Selepas meraih pelbagai kejayaan, Aizat kini mahu mencari kepuasan dengan mendokumentasikan kehidupan sehariannya menggunakan kamera video.

Dia kelihatan cukup obses dengan kamera video sehingga membawanya ke mana-mana sahaja termasuk ke acara anugerah.

“Kalau ada yang melabel saya obses, saya terima secara terbuka. Memang saya obses, tetapi dari sudut positif.

“Saya bawa kamera video untuk merakam aktiviti harian kerana ia beri saya kepuasan.

“Sepanjang menjadi anak seni, banyak yang ingin saya kongsi dari mata hati dan syukur medium ini sangat membantu,” katanya.

Apatah lagi dia kini aktif menyertai misi kemanusiaan menerusi pergerakan #1moment4them bersama rakan artis lain.

“Impian saya untuk membantu insan malang dapat direalisasikan. Saya cukup terkesan melihat penderitaan yang ditanggung penduduk di Syria dan beberapa negara lain.

“Peperangan di sana semakin teruk. Mereka bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan, tetapi juga sokongan moral.

“Syukur, ada rakan artis yang turut memperjuangkan misi ini termasuk Mizz Nina, Faizal Tahir dan Noh Salleh,” katanya.

Masih penyanyi

Ramai peminat tertanya-tanya apa sudah jadi dengan karier nyanyian Aizat apabila lebih aktif menghasilkan lagu.

Apabila perkara ini dibangkitkan, penyanyi lagu Sungai Lui ini menjelaskan nyanyian masih menjadi keutamaannya meskipun rancak dengan kerja belakang tabir.

“Benar, kebelakangan ini saya lebih banyak melakukan kerja belakang tabir, tetapi itu tidak bermakna saya sudah tidak minat menyanyi.

“Penyanyi mahupun komposer, kedua-duanya penting bagi saya,” katanya yang bakal mencipta lagu untuk Dayang Nurfaizah.

Aizat turut berkongsi ada perancangan untuk kembali aktif menyanyi tahun ini.

“Jika tiada aral, setiap bulan saya akan hasilkan satu lagu. Saya namakan projek ini Gegar 2016 dan single berjudul Bagai Hidup Semula sudahpun dilancarkan.

“Menariknya, video muzik yang memaparkan kehidupan seharian mencatat jumlah tontonan yang tinggi di YouTube. Ia satu permulaan yang bagus,” katanya.

Ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH29), baru-baru ini, pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular itu nyata terkejut dengan kemenangannya.

“Saya langsung tidak menjangkakan kemenangan ini, tetapi sejujurnya peminat saya adalah yang terbaik di dunia. Dalam diam mereka masih setia menyokong kerjaya saya.

“Bahkan, saya ada kumpulan WhatsApp dengan peminat dan apabila menerima ucapan tahniah daripada mereka, ia detik yang cukup indah,” katanya.
Powered by Blogger.