F Perjalanan seni Idris Khan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Perjalanan seni Idris Khan

PENGLIBATAN bintang baharu ini dalam industri seni boleh diibaratkan sebagai tidak sengaja.

Masakan tidak, jejaka berusia 28 tahun ini terlebih dahulu melibatkan diri dalam dunia peragaan selama sembilan tahun dan sering menolak tawaran lakonan.

Namun tawaran lakonan dari A. Aida Production pada tahun lalu menerusi naskah Puteri Gunung Ledang telah membuka sedikit pintu hatinya untuk melangkahkan kaki dalam bidang seni.

Akui Idris Khan Abdul Ghaffar, biarpun pada mulanya dia menyangka drama itu adalah sebuah karya epik, namun drama itu juga menjadi titik tolak bercambahnya minat dia dalam bidang lakonan.

“Ketika mula-mula mendapat tawaran itu, saya sangka ia adalah sebuah karya epik, saya terfikir mungkin saya menjadi Hang Tuahnya dan kerana drama itu juga, saya mula berjinak-jinak di dalam bidang seni.

“Sejak itu jugalah saya mula melibatkan diri di dalam bidang seni dan diam tak diam dah setahun saya di dalam bidang ini.

“Kalau artis lain, mereka menyertai industri seni kerana minat yang mendalam, saya pula menyertai industri secara tak sengaja dan dari situ timbulnya minat,” ujar anak kelahiran Libya ini.

Antara naskah lain yang pernah dibintangi Idris adalah Abang Sado Jemur Kain, Cinta Hati Abah, Uda & Dara, Bodyguard dan terbaharu Duda Terlajak Laris yang telah menaikkan lagi namanya dalam industri seni.

Tambah Idris, dia bersyukur kerana lakonannya di dalam drama itu telah memberi kesan dan berterima kasih kepada pengarah drama berkenaan, Fairuz Loy serta rakan baiknya, Pekin Ibrahim yang telah banyak membantunya.

“Alhamdulillah saya menerima banyak komen positif mengenai lakonan saya di dalam drama berkenaan.

“Tapi ini bukan bermakna saya sudah boleh mendongak langit atau terlalu memilih tawaran berlakon. Cuma saya lebih berhati-hati dalam membuat pilihan, sebabnya lagi kerap kita berlakon tanpa memikirkan kesesuaian, lebih banyak kita mendedahkan kelemahan kerana kita masih belajar.

“Prinsip saya secara peribadi, biar sedikit demi sedikit, asalkan kita kekal lama dan semakin lama semakin bagus. Bukan hanya bergantung pada satu drama, terkenal dan kemudian hilang begitu sahaja,” katanya.

Tolak kontroversi

Bukan itu sahaja, lelaki yang mempunyai ketinggian 185cm ini juga tidak gemar mengambil jalan mudah untuk popular.

Jika sesetengah artis baharu melihat kontroversi boleh membantu menaikkan nama mereka di dalam industri, tidak bagi Idris.

“Tidak dinafikan kontroversi memang boleh membantu. Tapi saya tidak suka. Lagi-lagilah seperti kontroversi yang berlaku pada saya sebelum ini.

“Bagi saya sangat mengarut dan memalukan. Sebagai individu yang mementingkan profesional dalam bekerja, saya memang menolak kontroversi dan berharap orang kenal saya kerana hasil kerja saya,” katanya.

Sibuk selepas raya

Berkongsi perkembangannya, Idris berkata, dia kini sibuk menguruskan beberapa event di bawah syarikatnya, KL Event yang ditubuhkan bersama Pekin dan dua rakan kongsi.

Selain itu, menerusi syarikat produksi KL Media House, mereka juga kini dalam proses penggambaran rancangan dokumentari dan filem KL Wangan.

“Insya-Allah kami mempunyai beberapa perancangan untuk direalisasikan iaitu penggambaran dokumentari melibatkan pulau-pulau di Sabah dan saya sendiri akan mengendalikan rancangan itu.

“Pada masa sama, kami juga akan memulakan penggambaran filem pertama kami, KL Wangan iaitu sebuah filem mengenai kereta yang telah diubah suai, idea dari Pekin. Tapi pelakonnya masih dalam perbincangan.

“Selain itu, saya ada beberapa tawaran drama dan filem yang masih dalam pertimbangan. Pada masa sama, saya sibuk dengan penggambaran drama 13 episod tayangan Hypp TV yang dijangka selesai sebelum Ramadan nanti,” katanya.
Powered by Blogger.