F Pentas muzik berat | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pentas muzik berat

Nama kumpulan Farasu, Infectious Maggots dan Suffercation mungkin kurang dikenali serta tidak mendapat tempat di hati peminat muzik arus perdana.

Sebaliknya, mereka sudah membina jenama yang kukuh dalam kalangan penggemar muzik berat kerana lama berjuang dengan konsisten secara bawah tanah.

Tidak dikenali menyeluruh oleh semua peminat bukanlah alasan bagi menghentikan minat mereka untuk terus berkarya dengan cara ini.

Kegigihan ketiga-tiga kumpulan ini ternyata berbaloi apabila mendapat kepercayaan daripada Hard Rock Cafe Melaka bagi mengisi slot ‘Live Music’ pada 28 Mei ini.

Mereka akan beraksi bermula jam 3 petang.

Sebelum ini, pentas Hard Rock Cafe Melaka pernah menampilkan kumpulan genre sama antaranya Brain Dead, Sil Khannaz, Necrotic Chaos dan FTG yang mendapat sambutan baik daripada pencinta muzik berat.

Ini menjadi antara faktor utama Hard Rock Cafe Melaka membuka ruang kepada Farasu, Infectious Maggots dan Suffercation beraksi di premis yang turut menjadi tumpuan pelancong ini.

Disiplin yang baik juga antara kriteria ditetapkan pihak Hard Rock Cafe Melaka.

Kumpulan Farasu ditubuhkan pada 2002 hasil penyatuan dua kumpulan iaitu Brave In Vision dan Iron Storm.

Kumpulan yang dianggotai Shah Zaini, Nahak, Ordil Jay Sven, Apai dan Mus Fidayyin ini tampil dengan album pertama berjudul Menongkah Arus pada 2010.

Album bernadikan ‘eastern metal’ ini mendapat sambutan cukup menggalakkan dalam kalangan penggemar muzik berat. Mereka kemudian tampil dengan album kedua berjudul ‘Against Tyranny’ pada 2015.

Kelahiran album ini seakan-akan membuka lembaran baru bagi Farasu kerana turut mendapat tawaran mengadakan persembahan di Indonesia antaranya dalam Jogja Brebeg Fest, Batam Undersick­ness 4, Dumai Tektonik, Daimonous Open Air dan sebagainya.

“Kami begitu teruja dan berterima kasih kepada Hard Rock Cafe Melaka kerana memberi ruang dan peluang kepada Farasu untuk turut sama memeriahkan siri

‘Live Music’ bersama dua lagi kumpulan.

“Tentunya kami akan berusaha memberikan yang terbaik untuk peminat yang hadir dan memastikan mereka pulang dengan hati yang puas,” kata Nahak.

Infectious Maggots pula asalnya dikenali dengan nama ABC Dead. Pada awal penubuhannya pada 1991, ia di barisi Lan Bear, Lan Bye, Kochix, Wan Ermie dan K-Roll.

Selepas kemasukan Fathul sebagai penyanyi, barulah nama ini ditukar menjadi Infectious Maggots.

Mereka menghasilkan demo pertama berjudul ‘Life Among The Ruins’ memuatkan empat lagu yang berjaya menambat syarikat rakaman Sonic Asylum Records.

Infectious Maggots akhirnya tampil dengan album pertama berjudul ‘Deep Within Our Grief Factory, Milk Runs Red’ pada 1992.

Mereka seterusnya menghasilkan beberapa lagi album iaitu Unknown dan Karat Besi Simfoni.

Nama Suffercation yang ditubuhkan pada 1990 sering meniti di bibir peminat muzik ‘underground’.

Penyatuan anggota asal kumpulan ini pasti dinantikan peminat. Jeff, Ly, Rob dan Loli adalah tulang belakang yang memantapkan muzik Suffercation itu sendiri.

Album pertama berjudul ‘Day Of Darkness’ keluaran Valentine Sound Production (VSP) pada 1992 sentiasa menjadi bualan peminat dari dulu sehingga kini.

Sehingga kini Suffercation hadir dengan enam album iaitu Day Of Darkness, Cryptic Existence, In Sufferance, Karisma..Rialiti..Abadi.., Pendekar dan As We Breathe..

“Buat peminat yang hadir nanti, Suffercation hanya akan menampilkan lagu-lagu yang terdapat dalam album pertama, Day Of Darkness. Ia sesuatu yang eksklusif untuk mereka.

“Pastinya kami akan memberikan sesuatu yang mengujakan, apatah lagi kembalinya vokalis asal iaitu Jeff Ilias sedikit sebanyak akan mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu dalam album ini.

“Suffercation kini giat berlatih demi kepuasan peminat. Biarpun ada antara kami yang berada di luar Kuala Lumpur, namun untuk persembahan di Hard Rock Cafe Melaka nanti, ia bukan halangan buat kami untuk kembali bersama,” kata Ly Razak.

Tiket untuk menyaksikan persembahan ini berharga RM40. Pembelian tiket boleh dibuat dengan melayari www.hardrock.com/melaka atau datang sendiri ke Hard Rock Cafe Melaka.

Keterangan lanjut boleh didapati dengan menghubungi enquiries@hardrockcafe-melaka.com.
Powered by Blogger.