F Penonton paling 'gila' hangatkan Little Mix | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Penonton paling 'gila' hangatkan Little Mix

Kegilaan peminat tempatan terhadap kumpulan wanita popular dari United Kingdom (UK) Little Mix di luar jangkaan.


Ternyata konsert Little Mix ‘The Get Weird Tour’ Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail mencatat sejarah tersendiri apabila mendapat sambutan luar biasa.

Bahkan, anggota Little Mix iaitu Jade Thirlwall, Perrie Edwards, Leigh-Anne Pinnock dan Jesy Nelson ‘tenggelam’ gara-gara reaksi penonton.

Mana tidaknya, semua lagu yang didendangkan dalam konsert anjuran Fat Boys Malaysia itu dihafal penonton malah turut sama menyanyi sehingga menenggelamkan suara empat wanita itu.

Melihat suasana itu, tidak dinafikan konsert Little Mix paling hebat pernah berlangsung di premis itu. Bukan kerana dibanjiri kira-kira 1,500 penonton yang jadi ukuran tetapi kehangatan suasana sepanjang persembahan.

Jeritan demi jeritan bergema sejak Daiyan Trisha membuka persembahan pada jam 8 malam. Kemunculan Little Mix di atas pentas pada jam 9 malam diiringi sorakan riang peminat.

Tidak hairanlah Jesy menyatakan penonton Malaysia paling ‘gila’ jika dibandingkan dengan lokasi jelajah mereka sebelum ini.

“Saya tidak sangka kalian ‘segila’ ini. Terus terang, kalian penonton paling lantang dan luar biasa pernah kami jumpa.

“Saya dan anggota Little Mix lain beruntung dapat bertemu kalian. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya kami dengan sambutan yang diterima,” katanya.

Sering dipuji media antarabangsa, ternyata kumpulan ini memang hebat beraksi di atas pentas. Boleh dikatakan persembahan mereka malam itu hampir sempurna dalam segala aspek.

Kehebatan vokal bakat kelahiran program The X-Factor UK ini tidak perlu dipertikai lagi. Stamina mereka ketika beraksi juga luar biasa malah ketika mempamerkan gerakan tarian mengagumkan, suara mereka kekal hebat dan bertenaga.

Penguasaan pentas mereka juga bertaraf lima bintang sehinggakan penonton berasakan konsert pada malam itu wajar diadakan di pentas lebih besar.

Kecederaan Jesy tidak jejaskan persembahan

Mendendangkan lagu hit termasuk Grown, Move, Hair, Change You Life, Lightning, DNA, Salute, Little Me, How Ya Doin’, Wings, Black Magic, Secret Love Song, Love Me Like You dan Weird People, ramai tertanya-tanya kenapa Jesy tidak muncul di atas pentas selepas mempersembahkan beberapa lagu.

Tiga anggota Little Mix memaklumkan Jesy cedera dan terpaksa berhenti daripada meneruskan persembahan.

Pun begitu ketiadaan Jesy tidak menjejaskan konsert malam itu malah anggota lain berjaya menggamatkan suasana.

Pada malam itu juga, Jesy menjelaskan ligamen pergelangan kakinya cedera dan terpaksa berehat jika mahu beraksi dalam konsert seterusnya di Singapura.
Powered by Blogger.