F Pengiktirafan buat karyawan tanah air | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pengiktirafan buat karyawan tanah air

SELEPAS enam tahun menyepi, Anugerah Seri Angkasa (ASA) muncul kembali tahun ini.

ASA mula dicetuskan oleh Kementerian Penerangan Malaysia (kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada 1972.

Pada awalnya, ia merupakan anugerah berprestij yang mengiktiraf karyawan tanah air menerusi program radio dan televisyen (TV) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja.

Bagaimanapun, satu pembaharuan dilakukan apabila ASA dibuka penyertaannya kepada stesen televisyen lain demi memberi persaingan yang lebih sihat, sejak 2004.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad memberitahu, pihaknya sangat mengalu-alukan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua stesen penyiaran di negara ini demi memastikan ASA 2016 berjaya dilaksanakan.

Bahkan, dek komited terhadap perkembangan industri kreatif, KKMM turut mencadangkan supaya penganjuran ASA diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

"ASA adalah sebuah anugerah cukup berprestij dan seboleh-bolehnya kita tidak mahu ia diadakan setiap lima atau 10 tahun sekali. Kita tidak mahu dianggap sebagai tidak serius, jadi, kita akan memastikan ia menjadi sebuah acara yang dinanti-nantikan.

"Objektif ASA adalah untuk memartabatkan dan mengiktiraf penggiat seni industri kreatif penyiaran tanah air khususnya untuk kru penerbitan dan siaran, penerbit, juruhebah, penyampai dan kru teknikal.

"Bahkan, ia mengiktiraf pekerja di belakang tabir industri kreatif yang merupakan tenaga kerja penting dalam merealisasikan sesebuah penerbitan," katanya kepada dalam sidang media, baru-baru ini.



Terima 701 pencalonan

Dalam pada itu, RTM selaku urusetia ASA 2016 menerima 756 borang pencalonan daripada stesen penyiaran kerajaan dan swasta untuk diadili.

Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan dan Persembahan ASA 2016, Norliza Ali berkata, daripada jumlah itu, hanya 701 penyertaan yang diterima manakala 55 lagi ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang  ditetapkan.

"Kita telah membuka peluang penyertaan sehingga penghujung tahun lalu, sama ada menerusi dalam talian mahupun borang penyertaan.

"Malah, dek sambutan luar biasa yang diterima menyebabkan kita terpaksa melanjutkan tarikh tutup penyertaan.

"Setiap rancangan dicalonkan mestilah adalah yang pertama kali disiarkan di stesen penyiaran masing-masing antara 1 September 2014 hingga 31 Ogos 2015," katanya.

Norliza yang juga Pengarah Bahagian Program TV RTM menjelaskan, penyertaan terbuka kepada semua stesen penyiaran kerajaan dan swasta yang programnya disiarkan melalui siaran tidak berbayar (terrestrial) dan setelit.

Katanya, stesen TV yang menyertai ialah RTM, Astro, Media Prima, TV AlHijrah, serta stesen radio termasuk Nasional FM, Traxx FM, Minnal FM, AiFM, Suria FM, Ikim FM, 988 FM, Best FM, Bernama Radio, dan IM4U FM.

Tambahnya lagi, ASA 2016 mempertaruhkan 538 pencalonan kategori TV dan 163 pencalonan pula kategori Radio bagi merebut 57 kategori anugerah yang dipertandingkan.

Katanya, daripada jumlah itu, 38 pencalonan adalah bagi kategori TV dan 19 pencalonan untuk kategori radio.

"ASA 2016 sekali lagi menyaksikan RTM mencatat jumlah penyertaan tertinggi dengan menghantar 249 pencalonan, Astro 227 pencalonan, diikuti Media Prima 159 pencalonan dan 14 pencalonan dihantar stesen TV AlHijrah yang pertama kali menyertai ASA.

"Sebanyak 52 pencalonan diterima bagi kategori radio melalui pelbagai saluran seperti Suria FM, Ikim FM, 988 FM, Best FM, Bernama Radio, dan IM4U FM," katanya.

Masih mengekalkan format yang sama, kata Norliza, setiap kategori yang dipertandingkan dalam ASA 2016 seratus peratus diadili oleh juri-juri profesional.

"Barisan juri profesional terdiri daripada golongan ahli akademik, ahli profesional, penggiat seni dan karyawan.

"Ini membuktikan hanya yang terbaik akan diangkat dan dimartabatkan di ASA 2016," katanya.



Martabat penggiat seni

ASA 2016 diadakan bagi memartabatkan penggiat seni kreatif penyiaran tanah air termasuk pengamal penyiaran, kru penerbitan dan siaran, penerbit, juruhebah, penyampai dan kru teknikal.

Antara kategori yang bakal dipertandingkan adalah Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Skrip Drama Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Promo TV Terbaik, Suntingan Rancangan Terbaik dan Hiburan Muzikal TV Terbaik.

Bagi kategori radio pula adalah melalui kategori DJ Radio Lelaki dan Wanita Terbaik, Drama Radio Terbaik, Majalah Radio Terbaik, Rancangan Interaktif Radio Terbaik, Liputan Radio Terbaik, Promo Radio Terbaik dan Dokumentari Radio Terbaik.

Selain itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa juga bakal diberikan.

ASA 2016 bakal berlangsung selama dua hari berturut-turut iaitu pada 20 dan 21 Mei ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri. Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 pada jam 9 malam, manakala malam kemuncak ASA 2016 turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Ria HD, Tonton serta Suria FM.

Acara berprestij itu turut menampilkan Adibah Noor, Nana Mahzan, Muaz Mohamad dan Terence Dass sebagai hos selain dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti seperti Juara Akademi Fantasia 2015, Sufi, KRU, Caliph Buskers, Bunkface dan Stacy.
Powered by Blogger.