F Penat lelah Bocey berbaloi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Penat lelah Bocey berbaloi

BERPENGALAMAN beraksi dua kali di pentas akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) bukanlah tiket mudah bagi kumpulan Bocey untuk menjuarai MLM 2016.

Hakikatnya, Bocey yang dianggotai Abam, Fad dan Acey mengakui perlu hadapi saingan sengit daripada semua peserta akhir.

“Sebenarnya, tidak mudah untuk kita bergelar juara kerana MLM 2016 menampilkan pesaing hebat. Walaupun ada baharu, tetapi mereka ini sangat menonjol.

“Kita anggap kemenangan ini lebih pada keserasian yang ada sehingga membawa kepada beberapa pergaduhan kecil akibat berselisih pendapat dan salah faham.

“Namun, itulah cabaran utama dan sebenarnya pergaduhan itu yang membuatkan kita jadi lebih akrab sehingga mampu menjana idea lebih baik.

“Alhamdulillah, selepas berpenat lelah dan bertungkus-lumus, inilah rezeki kita,” ujar Fad mewakili dua lagi ahli kumpulannya ketika ditemui media, kelmarin.

Namun, bonus bagi kumpulan trio ini apabila sering menjadi pilihan ramai penonton sedari awal lagi.

“Setiap sketsa dinilai penonton yang mengikuti perjalanan kita selama 13 minggu dalam MLM2016. Apa yang penting, kita sudah menanamkan sesuatu yang baik buat semua penonton setia rancangan ini.

“Lagipun, penonton juga sudah bijak untuk mengundi,” kata Acey pula.

Lantaran itu, Bocey turut berhasrat mengadakan kenduri kesyukuran khas buat peminat setia.

Bocey muncul juara MLM 2016 pada saingan minggu terakhir sekali gus memenangi wang tunai RM500,000 berserta trofi.

Kepuasan menghibur

Kumpulan Joras pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua meskipun sudah beri persembahan bertenaga dan kreatif.

Kemenangan itu melayakkan trio yang dianggotai Rahim, Shuk dan Joey itu meraih wang tunai RM250,000 berserta trofi.

“Sebenarnya, ia bukanlah soal kalah menang, sebaliknya kepuasan dalam menghibur penonton sehingga mendapat sorakan. Itulah matlamat utamanya.

“Bahkan, sasaran kita adalah untuk ke pentas akhir. Itu pun sudah bagaikan juara.

“Tetapi, apabila sampai ke peringkat ini, Alhamdulillah, kita bersyukur,” kata Rahim mewakili dua ahli kumpulannya.

Kumpulan Puteh pula mencipta kejutan apabila memenangi tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM150,000 serta trofi.

Menariknya, ini merupakan penyertaan sulung bagi Ali dan Mamak yang dilahirkan menerusi program Projek Komedi Warna.

“Alhamdulillah, kemenangan ini rezeki apatah lagi kita calon bukan pilihan (underdog).

“Lagipun, MLM pentas paling besar dalam arena komedi di negara ini.

“Kita berusaha bukan kerana mahu terkenal, sebaliknya untuk kekal bersaing dengan pelawak lain,” kata mereka.

Tempat keempat pula dimenangi kumpulan LOL yang dianggotai Tauke, Angah dan Ajak dan menerima hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi.

Kesemua hadiah disampaikan pelawak veteran tanah air, Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali sebagai Wahid Satay sambil diiringi Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Peserta diadili juri tetap, Ziana Zain, Shaheizy Sam serta dua juri luar iaitu Najip Ali dari Singapura dan Bunga Citra Lestari dari Indonesia yang mewakili 70 peratus undian manakala bakinya daripada penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

MLM 2016, sekali lagi diacarakan Datuk AC Mizal, masih mengekalkan format asal seperti mula diperkenalkan pada 2011.

Edisi kelima MLM terus menampilkan gabungan pelawak baharu dan lama, termasuk peserta dari Indonesia serta Singapura dengan 15 kumpulan bertanding.

Program realiti komedi itu disiar secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105), Astro Warna (saluran 132), Astro Mustika HD (saluran 134) dan Astro Maya HD (saluran 135) dari Stadium Tertutup Perbadanan Pasir Gudang, Johor Bahru, kelmarin.

Masih menyengat!

Dalam pada itu, Ketua Saluran dan Kandungan Komedi Astro Warna, Bob Azrai berkata, aura MLM 2016 terus menyengat walaupun tiada penyertaan daripada pelawak senior seperti Nabil, Johan, Zizan Razak dan Sepahtu.

“Semua pelawak yang menyertai MLM 2016 bertungkus-lumus mengeluarkan material yang terbaik untuk penonton.

“Kita selalu berpesan kepada mereka agar jangan mengejar kemenangan semata-mata, sebaliknya berseronok apabila berada di atas pentas.

“Pastinya, apa dilakukan secara ikhlas, melahirkan kepuasan berbaloi,” katanya.

Pada masa sama, katanya, MLM juga jadi platform terbaik buat pelawak di negara ini terutamanya muka baharu.

“Pelawak baharu selalunya masih lagi belum dikenali bahkan mereka juga kurang mendapat pendedahan. Jadi, MLM adalah salah satu platform terbaik.

“Sebab itu, kita beri ruang dan peluang kepada pelawak baharu untuk kembangkan lagi dunia komedi di negara ini,” katanya.
Powered by Blogger.