F Olivia Munn lebih positif | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Olivia Munn lebih positif

SETIAP kelebihan yang ada pastinya membawa manfaat kepada si pemiliknya.

Begitu juga yang dilalui bintang Hollywood, Olivia Munn.

Biarpun dilahirkan di Oklahoma City, Oklahoma, Amerika Syarikat, namun Munn dibesarkan di Asia.

Tambahan pula, ibunya, Kimberly Schmid yang berbangsa Cina dan menetap di Vietnam manakala bapanya, Winston Barrett Munn berasal dari Amerika Selatan.

Pun begitu, pemilik nama penuh Lisa Olivia Munn ini menyifatkan darah keturunan Asia-Amerika membawa keuntungan tersendiri dalam hidupnya.

Lebih-lebih lagi, selepas bekas kekasih kepada aktor, Chris Pine ini berjinak-jinak dalam bidang seni, sejak 12 tahun lalu.

"Saya adalah setengah Cina, setengah kulit putih. Kadang-kadang, dalam gambar, saya akan dilihat dalam keadaan berbeza.

"Dari luar, saya kadang berkulit putih, tetapi struktur tulang saya sangat Asia. Tapi, saya tidak pernah mencuba menggunakannya untuk kepentingan lain selain menghargai bakat yang ada," katanya.

Tidak hanya itu, kelebihan Munn membesar di Asia turut membantunya mendalami watak wanita mutan, Betsy Braddock @ Psylocke menerusi filem terbaharunya, X-Men: Apocalypse.

Mengulas mengenai wataknya itu, kata Munn, Psylocke memiliki kemampuan khusus yang boleh menciptakan senjata melalui buah fikirannya.

Maka, tidak hairanlah mengapa Munn mempelajari seni bela diri dan berlatih menggunakan pedang.

"Karakter itu kuat, ia sebenarnya boleh membunuh seseorang dari jauh, tetapi memilih untuk menggunakan pedang dari dekat.

"Ia digambarkan sebagai kehilangan orang tuanya lantas menghabiskan waktu hidupnya mengikuti pemimpin yang salah, mencari keluarga atau hidup yang sempurna," katanya.

Katanya, adalah penting bagi seorang wanita untuk terus bergerak maju ketika seseorang mendorongnya.

"Itu yang ibu saya ajarkan. Dia mengajar saya menyelesaikan masalah sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.Kerana itu, saya belajar tae kwan do," katanya.

X-Men: Apocalypse mengisahkan konflik dan perang yang disebabkan oleh Apocalypse (Oscar Isaac) setelah ia bangkit dari makamnya di Mesir. Empat mutan jalanan  diajak bergabung olehnya sebagai kakitangan.

Atas dasar itu, Mystique (Jennifer Lawrence), Beast (Nicholas Hoult), Magneto (Michael Fassbender) dan Professor X (James McAvoy) bergabung dengan anggota X-Men untuk melawan musuh baharu.

Filem arahan Bryan Singer ini akan menemui penonton pada 19 Mei ini.



Jadi wartawan penyiaran

Jika diimbas kembali, sebelum terjun dalam bidang lakonan, Munn memulakan kerjaya profesional sebagai wartawan penyiaran apabila muncul sebagai pelatih di NBC dan Fox Sports Net pada 2004.

Tidak serasi dengan kerjaya itu, aktres berusia 36 tahun ini lantas beralih ke bidang lakonan menerusi drama bersiri Beyond the Break pada 2006.

Pada masa sama, Munn tampil sebagai pembantu pengacara dalam rancangan Attack of The Show! dari 2006 hingga 2010 selain menjadi koresponden dalam The Daily Show (2010-2011).

Bagaimanapun, dalam tempoh itu, Munn kerap muncul sebagai pembantu pelakon dalam pelbagai filem seperti Big Stan (2007), Insanitarium (2008), The Slammin’ Salmon (2009), Date Night (2010), Iron Man 2 (2010), I Don’t Know How She Does It (2011), Magic Mike (2012), Deliver Us from Evil (2014), Mortdecai (2015), Ride Along 2 (2016) dan Zoolander 2 (2016).

Tidak ketinggalan, kelibatnya dapat dilihat dalam pelbagai drama bersiri seperti Chuck (2010), Perfect Couples (2010-2011), The Newsroom (2012-2014), New Girl (2012-2013), David Blaine: Real or Magic (2013), Miles from Tomorrowland (2015), Repeat After Me (2015) dan Lip Sync Battle (2016).



Alami gangguan obsesi?

Dalam pada itu, meskipun bergelar artis jelita, Munn sebenarnya menderita penyakit trichotillomania iaitu tabiat suka mencabut rambut, bulu kening atau bulu mata setiap kali mengalami tekanan.

Walaupun masih tidak jelas sama ada trichotillomania perlu diklasifikasikan sebagai satu tabiat atau gangguan obsesi kompulsif, hasil akhir menunjukkan keadaan yang sama.

"Saya tidak menggigit kuku, tetapi saya kerap mencabut bulu mata saya. Ia tidak menyakitkan, tetapi menjengkelkan," katanya kepada The New York Daily News.
Powered by Blogger.