F Ogy rangkul trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik ASA 2016 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ogy rangkul trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik ASA 2016

Selepas tiga kali tercalon, akhirnya tuah menyebelahi Primadona Filem Melayu, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy apabila diumumkan Pelakon Wanita Drama Televisyen (TV) Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016, malam ini. Ogy, 53, yang menghidupkan watak sebagai Cikgu Mahyon dalam drama Harus Terpisah, mengalahkan empat pelakon lain iaitu Fauziah Nawi, Vanidah Imran, Siti Shahriza dan Fatimah Abu Bakar. "Syukur ke hadrat Ilahi ke atas kemenangan ini. Ini adalah kali ketiga saya dicalonkan dan kali ini baru menang. "Terima kasih juga kepada pengarah, Rashid Sibir dan 'hero' saya, Nasir Bilal Khan yang turut memenangi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik," katanya ketika ditemui pada ASA 2016 yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana Angkasapuri di ibu negara. Pada 8 Mei lalu, Ogy yang mengabdikan hidup dalam dunia seni sejak empat dekad lalu, menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 (ABPBH 29). ASA 2016 juga mengiktiraf Feroz Kadir sebagai Pengarah Drama TV Terbaik menerusi dramanya, Kereta Kita. Drama itu juga diumumkan sebagai Drama TV Terbaik. "Saya masih dalam keadaan terkejut. Ini kerana tercalon dalam kelompok lima finalis pun sudah dikira suatu kejayaan besar, apatah lagi menang. "Kalau nak tanya perasaan saya sekarang, saya masih rasa macam bermimpi dek kejutan. Tapi walau apapun, saya bersyukur," katanya. Sementara itu, ASA 2016 juga mengiktiraf bintang veteran, Datuk Rahim Razali dengan Anugerah Tokoh Seri Angkasa. "Saya sangat terharu pada malam ini kerana trofi ini terlalu indah bagi saya. Saya terlalu gembira dan bersyukur tak terkira. "Ini adalah simbol kaitan di antara hidup saya dengan badan terulung di negara kita yang tercinta. "Terima kasih RTM dan syukur kepada Allah," katanya sebaik menerima anugerah itu daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Sementara itu, produk penerbitan rangkaian Media Prima Bhd (MPB) mengungguli ASA 2016 apabila merangkul 13 trofi menerusi kategori TV dan Radio. Antaranya kategori dimenangi adalah Drama TV Terbaik; Pengarah Drama TV Terbaik; Pelakon Komedi TV Terbaik (Kazar Saisi/TV3); Skrip Drama TV Terbaik (Lorong Kecil Ke Syurga/TV9) dan Drama TV Bersiri Terbaik (Wadi/TV3). Turut dimenangi adalah Pesanan Khidmat Awam Radio Terbaik (One fm) dan DJ Radio Wanita Terbaik (Ooi Yin Yin/One fm). MPB juga memenangi enam kategori lain yang diumumkan pada sesi pertama ASA 2016, malam kelmarin.


Powered by Blogger.