F Neelofa Bintang Paling Popular ABPBH 29 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Neelofa Bintang Paling Popular ABPBH 29

Keampuhan populariti pelakon dan pengacara jelita, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa terbukti apabila merangkul gelaran Bintang Paling Popular pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29), malam ini. Kemenangan Neelofa meruntuhkan dominasi artis lelaki yang mengungguli kategori itu selama lima tahun berturut-turut, selepas kali terakhir dimenangi artis wanita pada ABPBH 2009 menerusi kejayaan Datuk Siti Nurhaliza. Meraih 212,829 undian, Neelofa yang dicungkil menerusi pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 itu menafikan kemaraan pencabar terdekatnya iaitu bakat baharu yang sedang memuncak populariti, Mira Filzah selain meranapkan harapan Shaheizy Sam untuk mengulangi pencapaiannya. Kemenangan itu melayakkan Neelofa, 27, membawa pulang hadiah utama iaitu kereta Volkswagen Passat bernilai RM173,888 tajaan Volkswagen Group Malaysia berserta trofi yang diterimanya daripada peminat pada acara kemuncak yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Selain trofi Bintang Paling Popular, Neelofa turut mengukuhkan posisinya dalam bidang pengacaraan apabila mengungguli kategori Pengacara TV Popular. Neelofa bagaimanapun, terpaksa akur kepada populariti Fathia Latiff yang dinobatkan peminat sebagai Pelakon Filem Wanita Popular. Terdahulu, ABPBH 29 mengiktiraf jasa primadona Fauziah Ahmad Daud apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sumbangan besarnya kepada pembangunan industri hiburan sejak lebih empat dekad lalu ABPBH 29 juga memperlihatkan kemaraan beberapa nama yang semakin mengukuhkan kedudukan mereka di mata peminat. Sharnaaz Ahmad mencipta sejarah peribadi apabila mengungguli dua kategori iaitu Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular. ABPBH 29 juga menyaksikan kebangkitan Emma Maembong apabila melangkah selesa dengan memenangi kategori Pelakon TV Wanita Popular, menghampakan dua pencabar terdekatnya iaitu Siti Saleha dan Erma Fatima. Perubahan juga dapat disaksikan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular apabila dimenangi semula Aizat yang merampasnya daripada Akim Ahmad. Akim yang turut berjuang bersama Akim & The Majistret gagal mempertahankan trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular apabila ia beralih tangan apabila menjadi milik kumpulan rock legenda, Wings. Ketiadaan Fara Fauzana yang begitu sinonim dalam kategori Penyampai Radio Popular memberi ruang selesa kepada DJ Lin untuk merampas trofi itu, manakala Ifa Raziah diumumkan sebagai pemenang kategori Artis Versatil Popular yang kali pertama diperkenalkan pada musim ABPBH 29.

Juara Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid mengejutkan ramai apabila memenangi trofi Artis Baharu Lelaki Popular manakala Mira Filzah pula dijulang sebagai Artis Baharu Wanita Popular. Sementara itu, Adira mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular biarpun terpaksa berdepan saingan nama pilihan ramai iaitu Ayda Jebat selain Dayang Nurfaizah.Populariti Abam belum goyah apabila diumumkan sebagai Artis Komedi Popular menafikan peluang nama berpengalaman seperti Shuib dan Ebby Yus.Bagi merancakkan lagi penganjuran ABPBH 29, lima kategori khas dipertandingkan menggunakan mekanisme undian dalam talian menyaksikan kemenangan pengacara berpengalaman, Datuk Aznil Nawawi sebagai Artis Ikon #RESPEK Popular. Pelakon kacak, Saharul Ridzwan pula mengungguli kategori Artis Aksi Selfie Popular, manakala Ayda Jebat menjadi pilihan peminat untuk menjulang trofi Artis Trending Popular.Sementara itu, Artis YouTube Popular menjadi milik Siti Nordiana manakala Lara Alana mengejutkan ramai apabila dinobatkan Personaliti Media Sosial Popular. ABPBH 29 adalah majlis pengiktirafan anjuran akhbar BH yang memberi penghargaan kepada penggiat seni merangkumi industri perfileman, muzik, drama TV dan penyiaran berteraskan sepenuhnya undian peminat.


Powered by Blogger.