F Nama kelab peminat Emma diejek | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Nama kelab peminat Emma diejek

Ketika malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 semakin hampir, pelakon, Emma Maembong, 24, terbuka hati untuk berkongsi rahsia di sebalik nama kelab peminatnya, Emavengers. Katanya, rangkuman nama beliau bersama perkataan Avengers itu datang daripada seorang peminat tegarnya sendiri. Emma bagaimanapun mengaku, dalam usaha mencari kelainan menerusi nama berkenaan, ada juga yang mengejek. "Biasalah, sejak awal lagi ketika nama itu dipilih, ada yang mula mengejeknya. Malah, ada yang membandingkan nama itu dengan watak kartun Power Rangers. Nama Emma Maembong sendiri pernah pun pernah diejek menjadi Emma Ikan Kembung. Mulut orang, biasalah. "Emma sendiri anggap Avengers itu seperti simbolik askar yang sentiasa berada di belakang Emma, tidak kira masa susah atau senang. Konon-kononnya macam filem The Avengers," katanya. Ketika ada yang bersikap sinikal terhadap nama terbabit, Emma terkejut ada artis lain yang menggunakan perkataan sama untuk kelab peminatnya. "Jadi, tidaklah buruk dan teruk sangat pilih perkataan itu kerana ia jadi ikutan," katanya. Mengenai persaingannya pada ABPBH kali ini menerusi dua kategori, iaitu Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular, Emma melihat setiap calon mempunyai potensi untuk membuat kejutan. "Kalau dulu, pada awal pembabitan saya dalam seni dan setiap kali dicalonkan dalam kategori acara hiburan, saat itu saya anggap wujud persaingan. Maklumlah, ketika itu masih baharu. Tetapi, selepas banyak kali dicalonkan dan bertanding, saya anggap semua ini sebagai rezeki. Kalau ada rezeki saya untuk menang, insya-Allah ia tidak ke mana," katanya. Dalam perkembangan lain, Emma kini turut sibuk dengan dunia perniagaan. Pernah bekerjasama dengan beberapa syarikat dan pereka fesyen mengeluarkan jenama tudung serta baju kurung, Emma sekarang rancak mempromosikan sabun pembersih dan penyegar muka. "Insya-Allah, selepas ini saya akan bekerja dengan seorang kawan untuk mengeluarkan telekung sembahyang pula," katanya.


Powered by Blogger.