F Minat ditentang keluarga | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Minat ditentang keluarga

Walaupun pernah mendapat tentangan keluarga, penyanyi yang popular dengan lagu runut bunyi (OST) drama tanah air, Ippo Hafiz terus memperjuangkan minatnya dalam seni muzik.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, baru-baru ini, penyanyi berusia 27 tahun itu mendedahkan ibu dan bapa melarangnya melanjutkan pengajian dalam bidang muzik kerana bimbang dia akan ‘hanyut’.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Hafiz Yazit itu, selepas tamat sekolah menengah dia ingin menyambung pengajian di Akademi Seni Warisan dan Budaya (ASWARA) atau Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Ibu dan bapa tidak setuju kerana mereka mahu saya menjadi ustaz atau tahfiz disebabkan saya pernah sekolah pondok.

“Selepas melihat kebolehan saya menyanyi dan menghasilkan lagu, mereka akhirnya reda dan mengizinkan saya meneruskan kerjaya ini,” katanya.

Mula menceburi bidang seni pada 2009, Ippo mengakui kurang dikenali walaupun lagu ciptaannya mendapat sambutan hangat.

“Ramai peminat drama Melayu meminati OST ciptaan saya tetapi ada yang tidak mengenali saya.

“Ada juga yang menyangka saya bukan penyanyi tempatan kerana menggunakan Ippo sebagai nama komersial.

“Agar orang lebih mengenali saya, tahun ini saya terima semua tawaran persembahan dan aktif mempromosikan diri di media sosial,” katanya.

Menjelaskan maksud namanya, penyanyi itu berkata, Ippo diangkat daripada siri animasi Jepun kegemarannya, Hajime no Ippo.

“Bagi saya nama Ippo unik, tambahan pula rakan sekolah memanggil saya dengan gelaran itu sejak tingkatan tiga,” katanya.

Kumpul lagu OST

Mengulas lanjut album sulungnya, Ippo berkata, ia menghimpunkan 11 lagu OST yang pernah menghiasi drama popular tanah air.

“Idea mengumpulkan semua karya ini dalam satu album hadir apabila ada peminat ingin mendengar lagu-lagu saya di laman sosial YouTube.

“Lagi pun bukan semua lagu OST ini dimuat naik di YouTube, sekali gus meyakinkan saya untuk menghasilkan album ini,” katanya.

Ippo mengakui bukan mudah menghasilkan lagu OST dan menjadikan novel sebagai inspirasi menulis lirik.

“Novel memberi inspirasi dan ilham ketika menghasilkan lagu. Selain itu, saya juga membaca skrip drama atau berjumpa dengan pelakon untuk bertanyakan pendapat mereka.

“Kadang-kadang tertekan juga membuat lagu kerana mengetahui peminat meletakkan harapan tinggi terhadap hasil karya saya.

“Namun saya menganggap ia sebagai cabaran,” katanya yang menyimpan harapan untuk bekerjasama dengan Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Mark Adam dan Melly Goeslow.

Dalam pada itu, Ippo turut merancang mengadakan konsert jelajah tidak lama lagi bagi mempromosikan album berkenaan kepada orang ramai.

“Bagi strategi jualan pula, album ini boleh didapati di semua platform digital. Sasaran saya adalah kelab peminat artis dan drama,” katanya.

Ippo yang tercalon dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH29) mencatatkan fenomena tersendiri apabila video lirik Kekal Bahagia di YouTube mencecah lebih 6 juta tontonan.

Lagu OST drama Cinta Si Wedding Planner itu turut menduduki tempat kedua di carta single iTunes Malaysia dan Asia.

Antara drama popular yang mengangkat lagu OST Ippo adalah Hidayahmu Ramadan, Teman Lelaki Upahan dan Cik Cinderella Encik Tengku.
Powered by Blogger.