F Mesej Hey Orang Kita | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Mesej Hey Orang Kita

Bukan sekadar kisah masyarakat, sebaliknya filem televisyen (FTV) terbaru terbitan Red Communication dan Astro berjudul Hey Orang Kita turut mengangkat masalah sosial dan realiti yang berlaku dalam kalangan generasi muda tetapi jarang diketengahkan sebelum ini.

Karya yang digarap dalam bentuk drama muzikal arahan pengarah muda, Zara Kahan ini turut mempertaruhkan barisan pelakon baru yang juga personaliti media sosial iaitu Raja Syahiran, Talitha Tan, Christian B Palencia dan Takahara Suiko.

Selaku pengarah dan penulis skrip, Zara berkata, dia mengambil pendekatan itu untuk menampilkan kelainan yang selaras dengan tema FTV yang mengetengahkan permasalahan masyarakat.

“Saya memilih mengetengahkan isu sosial generasi muda kerana ia jarang diangkat sebagai subjek utama.

“Menerusi Hey Orang Kita, kami memaparkan realiti yang berlaku dalam masyarakat dan usaha untuk keluar daripada permasalahan itu.

“Saya memilih genre muzikal kerana ingin memberi impak yang lebih mendalam kepada penonton,” katanya yang ditemui di majlis tayangan perdana Hey Orang Kita yang berlangsung di Publika, Damansara, baru-baru ini.

Zara berkata, Hey Orang Kita adalah kesinambungan siri mini empat episod yang ditayangkan menerusi FEFFO.TV. sebelum ini.

“Karya ini cukup bermakna kerana ia projek besar pertama arahan saya.

“Pada masa sama, saya juga mengambil risiko mengetengahkan wajah baru sebagai teraju utama.

“Meskipun masih hijau, mereka boleh berlakon dan menyanyi dengan baik.

“Diharap penonton akan suka dengan Hey Orang Kita,” katanya.

Takahara tertarik jalan cerita

Pengikut media sosial pasti tidak asing dengan selebriti dan penyanyi berimej pelik, Takahara Suiko.

Sebagai pendatang baru, Takahara teruja apabila ditawarkan menjayakan Hey Orang Kita.

“Seperti pelakon lain, saya menghadiri proses uji bakat dan teruja ditawarkan watak Hartini, isteri yang menjadi mangsa dera.

“Saya juga tertarik jalan ceritanya yang sarat dengan pengajaran dan ia bercorak muzikal.

“Projek Hey Orang Kita lain daripada kisah ma­syarakat yang dipaparkan di kaca TV dan layar perak sebelum ini,” katanya.

Hey Orang Kita mengisahkan kehidupan Hassan, Lilian, Hartini dan Clayton yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membebaskan diri daripada masalah yang menghantui mereka.

Ia menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 19 Mei lalu.
Powered by Blogger.