F Memori Berkasih angkat nama Khai Bahar | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Memori Berkasih angkat nama Khai Bahar

BAGI pengikut setia video-video yang memaparkan nyanyian atau video parodi di laman sosial YouTube, Instagram, Facebook atau terkini aplikasi nyanyian Smule, sudah pasti artis-artis yang lahir daripada laman sosial tersebut amat dekat dengan diri mereka.

Sementelah artis-artis laman sosial lebih mudah didekati berbanding artis popular tempatan.

Lebih menarik, kerana aplikasi itu, segelintir daripada mereka menjadi perhatian sehingga membawa mereka masuk ke dunia seni.

Begitulah boleh diibaratkan dengan empunya nama Muhamad Khairul Baharudin ini.

Lebih dikenali sebagai Khar Bahar, boleh dikatakan, anak jati Perlis ini berjaya mencuri tumpuan setiap penonton yang melayari video-video nyanyiannya di laman sosial.

Meskipun baharu berusia 22 tahun, Khai Bahar yang mesra disapa Khai ini memberitahu, dia mula mendapat perhatian banyak pihak apabila memuat naik lagu Relakan Jiwa yang pernah dipopularkan Hazama sekitar tiga tahun lalu.

“Ketika itu saya baharu berusia 19 tahun, pada awalnya saya selesa bermain gitar sahaja tanpa sebarang rakaman, bagaimanapun, saya terfikir mengapa tidak saya rakamnya dan muat naik di YouTube.

“Bermula daripada detik itu, saya mendapat respons positif daripada penonton dan pengikut di laman sosial sehingga nekad menghasilkan pelbagai video nyanyian,” katanya menyanyikan semula pelbagai lagu popular seperti Janam Janam, Bayangan Gurauan dan Madah Berhelah.

Bercerita lanjut, akui Khai, namanya lebih popular apabila dia berduet bersama penyanyi Siti Nordiana menerusi aplikasi Smule bagi lagu Memori Berkasih baru-baru ini.

“Alhamdulillah, video itu mendapat sambutan luar biasa sehingga viral di Instagram, Facebook dan YouTube.

“Bayangkan, kerana video itu juga, laman sosial Facebook saya mempunyai lebih 200,000 pengikut kini,” katanya.

Tidak terhenti di situ, Khai juga mendapat lebih 3 juta like bagi lagu nyanyian Projector Band, Sudah Ku Tahu yang dinyanyikan semula olehnya.

“Saya sendiri tidak pernah menduga akan diterima seperti ini.

“Dahulu saya seorang penyanyi jalanan (Buskers) dan pernah menyanyi di kedai milik rakan saya di Sarawak.

“Tetapi kini, saya sudah mula dipanggil untuk membuat persembahan bersama artis-artis terkenal,” katanya.

Jelasnya, ia merupakan pengalaman dan pengorbanan berbaloi kerana saat minatnya dalam bidang nyanyian membuahkan hasil.

“Saya pernah menyertai program realiti tanah air, tetapi tidak sampai ke peringkat top 10 dan sebagainya.

“Bagi saya, ia bukan alasan berputus asa dan kini usaha saya hampir menjadi kenyataan. Lagipun, penyanyi YouTube juga semakin ramai mencipta nama dan berjaya, jadi saya ambil mereka sebagai contoh dan dorongan,” katanya mendapat sokongan penuh daripada kedua orang tuanya menyanyi di laman sosial.

Bergelar artis rakaman

Gembira dengan inisiatifnya tersendiri untuk bergelar penyanyi terkemuka suatu hari kelak, ujar Khai, rezeki datang bergolek apabila ditawarkan menjadi artis rakaman.

“Syarikat rakaman NAR Record tawarkan kontrak kepada saya beberapa bulan lalu. Bagi saya mengapa perlu tolak, kerana ia memang cita-cita saya selama ini,” katanya.

Ditanya adakah genre lagu bagaimana menjadi pilihannya nanti, kata Khai, dia selesa memilih genre balada yang sebati dalam jiwanya.

“Saya menggemari lagu-lagu seperti rock balada yang biasa nyanyikan di YouTube, bagi saya lagu seumpama itu mempunyai lebih jiwa, tetapi jika syarikat rakaman minta saya menyanyikan genre lain, saya akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Dia juga akan mengikuti kelas vokal bagi memantapkan teknik nyanyian.

“Insya-ALLAH, ia merupakan usaha saya sebagai persediaan bergelar penyanyi.

“Saya sedang menyusun jadual kerana sekarang ia sangat padat,” katanya.

Ditanya apakah dia kekal aktif menyanyi di laman sosial, kata Khai, dia akan menghasilkannya selagi diterima.

“Ramai artis popular memuat naik video mereka di laman sosial, jadi tidak timbul isu eksklusif atau tidak,” katanya.

Ditanya apakah dia sudah bersedia bergelar penyanyi secara profesional, ujarnya, dia mengharapkan yang terbaik daripada semua pihak.

“Bersedia atau tidak saya perlu melaluinya, Insya-ALLAH, saya cuba menghadapinya dengan sokongan keluarga, rakan-rakan dan peminat,” katanya.

Selain itu, Khai memberitahu, dia kini lebih yakin menyanyi di khalayak ramai.

“Dahulu gigi saya kurang elok, tetapi setelah mendapatkan rawatan, ia menjadi lebih baik,” katanya.
Powered by Blogger.