F Masih seperti dulu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Masih seperti dulu

BIARPUN sudah 14 tahun berlalu, namun kisah cinta antara Rangga dan Cinta masih belum luput di ingatan peminatnya.

Bahkan ketika filem pecah panggung, Ada Apa Dengan Cinta (AADC) diumumkan akan dibuat sekuel, ramai teruja menantikan tayangannya.

Malah sejak itu, sudah ramai membuat telahan sendiri, bagaimana kesudahan kisah Rangga dan Cinta selepas Rangga membawa diri ke New York.

Sejak Khamis lalu, peminat di Malaysia, Indonesia dan Brunei, sudah dapat menyaksikan tayangan Ada Apa Dengan Cinta 2 dan ramai memuji keserasian dua gandingan utama, Nicholas Saputra (Rangga) dan Dian Sastrowardoyo (Cinta).

Masakan tidak, biarpun filem pertama karya terbitan Mira Lesmana itu sudah lama berlalu, namun mereka masih mampu memberikan lakonan mantap sama seperti yang pernah mereka persembahkan lebih satu dekad lalu.

Ujar Dian atau nama sebenarnya Diandra Paramitha Sastrowardoyo, 34, biarpun sudah 15 tahun pembikinan filem pertama berlalu, namun keserasian itu tetap utuh.

"Bagi saya keserasian kami sama seperti kita mengayuh basikal, walaupun sudah lama tidak bermain basikal, bila kita bermain semula, kita tidak akan kekok," katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Mengimbau awal pembikinan filem ini, Dian berkata, dia tidak pernah menyangka ada sambungan AADC dan amat teruja apabila Mira memaklumkan mengenai idea mereka untuk membuat sekuel AADC.

Menyifatkan idea sekuel itu sebagai satu idea yang amat menarik, Dian berkata, mereka berharap filem ini akan mendapat sambutan sama seperti filem pertama dahulu.

"Sejujurnya saya tidak pernah menjangkakan akan ada sambungannya dan bila mereka (Mira dan Riri Riza) memaklumkan kami untuk membikin sekuel, saya menyambut baik idea itu.

"Malah bagi saya sendiri selepas 14 tahun, saya fikir orang sudah lupa dengan percintaan Cinta dan Rangga, tapi selepas melihat sambutan ramai, ternyata sangkaan saya meleset," ujarnya.

Lebih matang: Nicholas

Menurutn Nicholas, sepanjang bekerja untuk menyiapkan filem ini, tidak ada cabaran besar yang terpaksa mereka lalui dan semuanya dapat diselesaikan dengan mudah.

"Saya boleh sifatkan kami lebih matang ketika proses pembikinan filem ini. Malah sejak dari awal kami duduk berbincang mengenai skrip dan sebagainya, kami sudah merasakan kami mempunyai keserasian tanpa dipaksa.

"Malah,  kami juga sentiasa bersedia ketika penggambaran dan akhirnya penggambaran diselesaikan baik tanpa masalah," katanya.

Ditanya pendapat mereka mengapa naskhah terbitan Miles Film ini tetap dinanti peminat mengenai kesinambungan Cinta dan Rangga, Nicholas berkata : "Jawapannya mudah, kerana Rangga dan Cinta meninggalkan memori kuat dalam minda mereka (peminat). Justeru, mereka sering tertanya, bagaimana pengakhiran cinta antara Cinta dan Rangga kini? Bahagia atau sebaliknya,” ujarnya.

Manakala Dian pula berpendapat: “Bagi saya setiap orang di dunia ini mempunyai kisah lampau dan memori. Begitu juga memori mereka dengan kami.

"Jadi secara tidak langsung mereka sering tertanya-tanya mengenai kisah percintaan Cinta dan Rangga.

"Saya harap filem ini menjawab segala persoalan yang berlegar di kepala mereka selepas mereka selesai menonton filem ini," akhirinya.
Powered by Blogger.