F Masih Hot!, Masih Ligat | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Masih Hot!, Masih Ligat

Selepas lima tahun tanpa konsert berskala besar di tanah air, bintang bertaraf antarabangsa kelahiran Korea, Rain (Bi), kembali mengubat kerinduan kira-kira 3000 peminat pada konsert Rain: The Squall Tour in Malaysia 2016, yang berlangsung di Arena of Star, Genting Highland, pada Sabtu lalu.

Pada jam 8.40 malam, konsert anjuran Galaxy Group ini menyaksikan Rain muncul dari tengah pentas mempersembahkan lagu-lagu hits seperti Its Raining, I'm coming, Hip Song.

"Apa khabar Malaysia?! Terima kasih kerana datang. Lama rasanya kita tidak berjumpa. Ini kali kedua saya mengadakan konsert di sini. Saya berharap anda semua bergembira dengan saya selama dua jam ini," sapanya sebelum meneruskan nyanyian dengan lagu antaranya Love Story, In My Bed, Only You, One, Bad Guy dan Stay Away From The Sun.

Jejaka berusia 33 tahun ini membuktikan gelaran 'King of Stage' memamg tepat untuk dirinya kerana sepanjang konsert, pemuja Raja Pop Michael Jackson ini memukau penonton dengan aksi tarian lincah, cukup bertenaga lagi mempesona.

Sesekali Rain mengambil kesempatan bikin peminat 'menggiler' apabila dia sengaja tunjuk perangai nakal dengan bermanja-manja dengan penari wanita yang mengiringi persembahannya. Suasana konsert tambah gamat apabila dia sekali sekala sengaja mengundang jeritan peminat dengan gaya seperti mahu membuka baju.

"Maaf, kalau saya buka baju, nanti konsert ini akan....," katanya yang nampaknya memahami peraturan jika membuat persembahan negara ini sekaligus kemestian menjaga sensitiviti netizen Malaysia.

Pun begitu, Rain tetap 'nakal' kerana ketika mendedangkan lagu I, dia mengoyakkan baju-t-nya dan menampakkan bahagian bahu dan dadanya - aksi tersebut seperti sudah dirancang awal.


Kehangatan konsert diteruskan dengan deretan lagu, Instead of Goodbye, You, La Song, Love Song, I Do, I Love You, 30 Sexy, Rainism, La Song (remix) dan diakhir dengan Pumps And Bump.

Seperkara lain yang mencuri perhatian ramai, penghibur bertubuh sasa ini punya cara tersendiri mengambil hati peminat. Tidak cukup dengan mengajak peminat menyanyi, menari, bertepuk tangan bersama-sama, beberapa kali dia turun ke pentas mendekati peminat.

Tak lupa, dia turut berinteraksi dengan penonton. Rain pada mulanya memilih bertutur dalam bahasa Korea meskipun dia fasih berbahasa Inggeris. Lagipun setiap kata-katanya akan diterjemahkan oleh penterjemah yang berada di belakang pentas.

Bagaimanapun, agak memalukan kerana penterjemah berkenaan seakan-akan kurang bersedia dalam menjalankan tugasnya.

Pada satu ketika dia kedengaran sedikit lambat mentafsirkan apa yang diucap Rain sehingga membuatkan penyanyi itu terkejut lalu berpaling ke belakang pentas dan memberi reaksi kurang berpuas hati. Akhirnya Rain bertutur dalam bahasa Inggeris.

Melangkah kaki ke dalam industri seni sebagai pelakon, penyanyi dan penari, Rain atau nama sebenarnya Jung Ji Hoon, muncul menerusi album pertama "Guy Bad" pada tahun 2002. Dia kemudiannya meraih populariti mendadak menerusi drama fenomena Full House.

Rain berjaya melebarkan bakat lakonannya di peringkat antarabangsa apabila membintangi filem Hollywood seperti Speed Racer (2008) dan Ninja Assassin (2009).

Dia juga pernah tersenarai sebagai salah seorang daripada 100 Individu Paling Berpengaruh Dunia 2007 oleh majalah Time. Sepanjang tempoh 14 tahun ini, Rain telah melancarkan tujuh album, terbaharu dia muncul menerusi drama Please Comeback Mister, yang mula ditayangkan pada awal tahun ini.

"Saya ada sediakan satu video istimewa khas untuk anda semua. Video ini menceritakan tentang zaman kanak-kanak saya dan perjalanan hidup saya dalam dunia seni ini," katanya dan meminta semua yang ada memberi tumpuan pada skrin gergasi di bahagian kiri dan kanan pentas.

Kali terakhir persembahan Rain di Kuala Lumpur pada ialah pada konsert sempena pelumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) 2011 dan ini merupakan konsert pertamanya di sini selepas tamat menjalani latihan khidmat negara pada 10 Julai 2013.

Terdahulu, Rain memulakan konsertnya di beberapa lokasi di China, Seoul, Korea dan Hong Kong sebelum menjadikan Malaysia sebagai destinasi ke-10 bagi konsert jelajah kali ini dan seterusnya Rain: The Squall World Tour akan bersambung di Jepun pada 24 Mei ini.
Powered by Blogger.