F M3 singkap 'sensei' badminton | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

M3 singkap 'sensei' badminton

Program Majalah 3 (M3) mencipta satu lagi sejarah apabila berkolaborasi dengan stesen televisyen Jepun, Fuji TV mengupas kisah perjuangan anak Malaysia yang digelar ‘Sensei’ dalam arena sukan badminton di negara matahari terbit.

M3 yang akan bersiaran pada jam 9 malam ini mengangkat kisah perjuangan Izuan Ibrahim, 32, yang menetap di wilayah kecil Ehime, Jepun selama lima tahun bagi memartabatkan sukan badminton.

Pengarah dan wartawan M3 yang membuat liputan, Ooi Beng Cheang berkongsi pengalaman mencari sudut cerita menarik untuk episod khas berjudul Sensei Badminton.

“Ini adalah kerjasama kedua Primeworks Studios dan Fuji TV. Tahun lalu kami menyiarkan kisah Bread, Sweat and Tears yang mengupas semangat usahawan Akihisa Haraguchi dan Iku Nakayama mengendalikan kedai bakeri bertemakan Jepun di Johor Bahru.

“Kali ini kami tampil dengan bahan menarik yang pasti menarik perhatian pencinta sukan badminton,” katanya.

Menurut Ooi, pasukan produksinya mengikuti perkembangan Izuan sejak tahun lalu.

“Kami mula mengikuti perkembangan Izuan dan menjalani penggambaran pada Jun tahun lalu. Kami dan Fuji TV bergilir-gilir melakukan penggambaran dan projek ini selesai pada Disember lalu.

“Untuk episod khas ini, bahan untuk kedua-dua stesen lebih kurang sama. Kalaupun ada perbezaan adalah dari segi tarikan budaya untuk disesuaikan dengan penonton,” katanya.

Menjelaskan objektif program ini, Ooi berkata, pihaknya ingin menyuntik semangat kesukanan dalam jiwa rakyat selain memaparkan perbezaan pembelajaran sukan di Malaysia dan Jepun.

“Kami ingin berkongsi dengan penonton bagaimana pembelajaran subjek sukan dititikberatkan dalam jadual pelajar di Jepun. Izuan mengajar pelajar di bawah usia 18 tahun.

“Kita dapat lihat bukan sahaja pelajar yang menunjukkan kesungguhan, bahkan ibu bapa juga bersemangat dan sentiasa ada ketika sesi latihan. Itu perbezaan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Tambah Ooi, dengan terjalinnya hubungan akrab di antara Jepun dan Malaysia menerusi program ini, ia juga sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada persatuan badminton kedua-dua negara.

Kolaborasi ini turut membuka mata stesen TV lain di Jepun untuk menjalin kerjasama dengan Primeworks.

“Jika tiada aral kami akan berkolaborasi dengan stesen TV lain di Jepun dan ada perancangan untuk bekerjasama dengan stesen TV beberapa negara lagi,” katanya.

Sementara itu, Izuan ketika dihubungi mengakui sudah kembali menetap di Malaysia dan berkhidmat sebagai jurulatih Persatuan Badminton Negeri Kelantan.

“Apabila pihak M3 menyatakan hasrat mahu membuat liputan mengenai pembabitan saya sebagai jurulatih badminton di Jepun, saya bersetuju kerana boleh berkongsi pengalaman dengan penonton,” katanya.

Tambah Izuan, dia juga ingin mengubah persepsi segelintir masyarakat yang memandang remeh kepentingan bersukan.

“Kalau hendak ke setiap negeri di Malaysia untuk berkongsi ilmu, mungkin ambil masa lama. Menerusi program ini, ramai yang akan menonton dan saya dapat kongsi sekali gus.

“Apa yang saya pelajari ketika menetap di Jepun adalah rakyatnya sangat berdisiplin. Saya mahu tekankan perkara itu dalam jiwa mayarakat dan pengamal sukan di Malaysia,” kata anak jati Kelantan ini.

Mengulas impiannya, Izuan berkata, dia mahu menimba ilmu dan pengalaman di Eropah.

“Saya mahu mendalami ilmu sains sukan di Eropah. Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan berhijrah dan berkongsi ilmu dengan mereka yang ada minat sama,” katanya.
Powered by Blogger.