F Liza Hanim bimbang nangis ketika persembahan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Liza Hanim bimbang nangis ketika persembahan

Penyanyi Liza Hanim meluahkan kerisauannya jika gagal mengawal emosi ketika membuat persembahan pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH29) yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam esok.

Liza yang ditemui ketika raptai acara kemuncak ABPBH 29 mengakui, emosinya tersentuh setiap kali menyanyikan lagu ciptaan komposer tersohor, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan kerana ia mengimbau memori ketika mereka bekerjasama pada permulaan kerjaya seninya.

"Saya seronok apabila kembali diundang untuk beraksi di pentas ABPBH 29. Cuma, suasana kali ini tidak sama kerana saya diberi amanah untuk menyanyikan lagu insan yang banyak berjasa menaikkan nama saya ketika mula bertapak pada tahun 1997.

"Saya risau akan menitiskan air mata ketika menjayakan segmen penghargaan untuk arwah yang saya panggil Abang Dee. Banyak kenangan kami bersama, malah setiap nasihat dan pesanan arwah masih tersemat kukuh dalam ingatan saya.

"Ia memberikan saya sedikit cabaran kerana bimbang kesedihan itu akan mengganggu persembahan nanti. Saya berharap diberi kekuatan untuk melunaskan tanggungjawab ini dengan baik," katanya.

Liza berkata, pemergian Allahyarham pada 6 Mac lalu masih membekas dalam dirinya kerana arwah ialah insan yang bertanggungjawab memperkenalkan bakatnya dalam bidang seni suara.

"Saya beruntung kerana sebagai penyanyi, saya bermula dengan bimbingan seorang komposer yang berbakat besar dalam industri muzik tempatan. Hampir kesemua lagu dalam album sulung saya mendapat sentuhannya," katanya.

Selain Liza, segmen penghargaan itu turut dijayakan Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah.
Powered by Blogger.