F Lawak Ke Der geletek penonton! | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lawak Ke Der geletek penonton!

BAGI peminat Lawak Ke Der terbitan Tall Order Productions Sdb Bhd, pementasan lawak secara langsung ini tentunya sinonim dengan mereka.

Menampilkan pelawak-pelawak hebat tanah air, Lawak Ke Der sudah memasuki musim kelima pementasannya di panggung berprestij Istana Budaya (IB).

Menampilkan Afdlin Shauki, Douglas Lim, Harith Iskander, kumpulan Bocey, Nabil Ahmad, Sherry Al-Hadad, Rayza Mukmin, Jihan Muse serta Syuk Balas, ternyata musim terbaharu ini tidak mengecewakan peminat-peminat.

Melabuhkan tirainya kelmarin, Lawak Ke Der mendapat sambutan hebat sepanjang tiga hari pementasan.

Mengimbas pementasan program itu, tirai dibuka dengan penampilan pengacara Nabil dan Sherry Al-Hadad.

Jika sebelum ini Nabil dan Sherry beraksi sendirian di pentas tersebut, tetapi tidak kali ini apabila kedua-duanya digandingkan.

Menariknya, gandingan mereka tidak menghampakan malah, berjaya mencuri tumpuan audiens yang hadir pada malam itu.

Meskipun hanya diberi tanggungjawab sebagai pengacara, namun mereka bijak memainkan peranan dengan lawak selamba masing-masing sehingga berjaya mencuit hati.

Masa dinantikan tiba apabila pelawak terkenal dengan stand up comedy, Harith Iskandar muncul membuat persembahan.

Selesa menampilkan lawak-lawak dengan mengambil kisah peribadi berkait kehidupan masyarakat, Harith memukau penonton dengan aksinya yang bersahaja.

Tiba giliran kumpulan Bocey yang membuatkan pentas Lawak Ke Der lebih kecoh dan gamat.

Keletah Fad, Abam dan Achey yang menampilkan kisah hantaran, pramugari serta kereta baharu membuatkan penonton tidak kering gusi.

Walaupun terpaksa berentap dengan pelawak-pelawak senior di pentas itu, namun juara Maharaja Lawak Mega 2016 itu mempunyai aura tersendiri.

Sementelah ketiga-tiga mereka mempunyai corak atau gaya lawak berbeza dibandingkan barisan pelawak terlibat.

Satu-satunya pelawak berbangsa Cina, Douglas Lim mengambil tempat. Tidak perlu mencari idea berat dan serius, Douglas juga memikat hati audiens dengan jenaka yang cukup ringkas.

Hanya menggunakan tema tarian naga atau singa, Douglas membuatkan penonton tidak kering gusi dengan setiap aksinya.

Malah, penonton seperti tidak cukup dengan pementasannya yang dirasakan terlalu singkat.

Sebagai penutup, Afdlin Shauki mencipta sebuah lagu khas untuk Datuk Hans Isaac yang merupakan penerbit program itu.

Tidak menjangkakan sentuhan pelakon versatil itu, nyata audiens bertepuk tangan dengan penyampaian hebatnya malam itu.

Secara keseluruhan, Lawak Ke Der 2016 cukup menghiburkan apabila menampilkan lawak-lawak segar dan tidak pernah ditonton di luar.

Yang pasti, ia berjaya menggeletek hati penonton malam itu.

Saya puas hati: Hans Isaac

Sebagai penerbit, Datuk Hans Isaac melahirkan rasa berpuas hati dengan setiap pementasan Lawak Ke Der dan ia berjalan lancar.

Walaupun mempunyai pengalaman menerusi empat pementasan Lawak Ke Der sebelum ini, tetapi perasaan gementar tetap ada.

“Ini adalah program berbayar dan rata-rata penonton yang hadir memberikan jangkaan tinggi terhadap lawak yang mereka tonton.

“Jika tidak mencapai tahap atau tidak berjaya memuaskan hati mereka, sudah pasti program ini tidak akan mendapat respons baik.

“Malah, untuk mengadakannya lagi bagi tahun seterusnya pasti sukar,” katanya pada sidang media selepas pementasan Lawak Ke Der 2016 di Istana Budaya (IB).

Jelasnya, pemilihan pelawak otai dan junior juga disebabkan mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

“Apa yang saya lihat malam ini, kesemuanya mempunyai gaya ersendiri.

“Yang penting lawak mereka tidak bertembung walaupun sedikit. Lagi pun, saya sudah tekankan tiada lawak pernah dibuat diselitkan menerusi pementasan ini.

“Dengan lawak-lawak segar ditampilkan, ia cukup membuatkan saya selesa dengan pelawak-pelawak tersebut,” katanya.

Tegur pelawak

Meskipun diberi amaran tidak menampilkan lawak-lawak yang menyentuh sensitiviti masyarakat, tetapi ada di antara pelawak terbabit secara sengaja atau tidak melakukan perkara itu.

Bercakap mengenainya, kata Hans, menerusi sesi latihan diadakan dia telah berpesan kepada mereka supaya membuang lawak-lawak seumpama itu.

“Saya akan menegur setiap pelawak yang tidak sengaja melakukannya.

“Mungkin kerana terlalu seronok beraksi, mereka terlupa dengan syarat-syarat ditetapkan.

“Bagaimanapun, ia perkara serius kerana mungkin ada penonton-penonton yang hadir mempersoalkan perkara tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan disampaikan pula, kata Hans, dia sendiri tergelak dengan pementasan pelawak terlibat.

“Sesi latihan dan pementasan sebenar amat berbeza. Jika di pementasan sebenar, mereka mempunyai penonton dan itu membuatkan semangat mereka lebih tinggi.

“Kerana itulah, mereka lebih bertenaga dan adakala timbul lawak di luar jangkaan.

“Tetapi, saya gembira kerana kreativiti dan pendekatan mereka membuatkan penonton terpukau,” katanya.

Ditanya apakah perasaannya apabila segelintir pelawak yang merupakan rakan baiknya mengenakan beliau, kata Hans, dia tidak ambil serius dengan perkara itu.

“Saya sudah teka, mereka pasti akan memainkan dan mengusik saya.

“Lebih-lebih lagi Afdlin, memang nak kena dengan saya nanti,” katanya sambil ketawa.
Powered by Blogger.