F Latiff Borgiba terkenal watak samseng! | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Latiff Borgiba terkenal watak samseng!

NAMA Latiff Borgiba sudah begitu sinonim dengan watak-watak antagonis. Menerusi filem-filem lakonannya, Latiff sebenarnya pernah takut untuk berhadapan masyarakat kerana risau dihentam hanya kerana peranan jahatnya.

Bertemu pelakon hebat ini, keadaannya nampak uzur namun masih mampu mengukir senyuman. Sesekali beliau mengerling ke arah siaran tv yang ketika itu menyiarkan filem Oh Fatimah lakonan AR Badul. Seperti mengimbau kenangan berada di set pada era itu, Latif tersenyum sendiri.

Ditanya mengenai perasaannya melakonkan watak jahat, Latiff mengakui pernah merasa takut pada saat mula-mula bergelar anak seni.

"Siapa tidak takut,kan... Berlakon jadi samseng, bergaduh dan siapa tengok pasti tak puas hati. Tapi, saya cekalkan hati kerana tahu ini semua periuk nasi saya sebagai anak seni.

"Walau apapun watak yang diberikan, saya cuba memberikan yang terbaik," katanya membuka bicara sewaktu bertemu di kediamannya baru-baru ini.

Ditambah ketika itu, penampilannya dengan bermisai tebal, berkulit gelap serta mata terjegil dalam karakter yang dipegangnya, membuatkan aktor ini mudah diingati.

Dengan sisi karakternya yang serius, Latiff atau nama sebenarnya Abdul Latiff TK Gomu Kakkah sudah lebih 60 tahun menjadi pelakon.

Memulakan kerjaya sebagai pelakon pada usia 18 tahun, begitu muda untuknya mengenal asam garam dunia lakonan.

Namun, kerana minat mendalam, Latiff melebarkan sayapnya sebagai pelakon layar perak selepas aktif dengan kelab teaternya.

“Saya bermula dengan teater bersama-sama kumpulan teater Kg Pandan, Kuala Lumpur. Teater pertama lakonan saya ‘Tiada Jalan Lain’ mendapat perhatian dan kumpulan kami dijemput menyertai bengkel lakonan di Morib, Selangor.

“Dalam ramai-ramai tu, saya antara tujuh terpilih untuk menyertai rombongan ke Sarawak untuk belajar selok-belok berlakon di sana. Pelbagai pengalaman saya dapat. Bermula daripada situlah, saya diperkenalkan dengan pengarah Allahyarham S Kadarisman," katanya.

Ditanya mengenai namanya, Pak Latif memberitahu, nama itu hanyalah nama komersialnya yang diberikan oleh pengarah.

“Nama Borgiba tu S Kadarisman yang bagi. Dalam filem pertama saya kalau tidak silap, dia panggil saya Latiff Borgiba. Apabila saya katakan, saya nak guna nama sebenar, beliau kata tak boleh. Saya tanya, Borgiba tu apa maknanya, beliau kata tu nama adalah daripada keturunan Habib Borgiba iaitu seorang kulit hitam dari Afrika yang terkenal warak dan juga tokoh agama terkenal. Saya turutkan sahaja kerana waktu itu masih baharu.

“Lama-kelamaan, nama itu dah ‘melekat’, pergi mana-mana orang panggil Latiff Borgiba, sampailah ke hari ini,” katanya.

Meminati dunia seni lakonan sejak kecil lagi, Latiff mengakui mengikut langkah ibunya.

“Ibu saya berdarah bangsawan, darah seni itu kuat mengalir dalam diri saya walaupun tanpa ada ilmu khusus.

Aktor berusia 75 tahun ini mengakui serasi dengan setiap tawaran berlakon walaupun mengakui berdepan pandangan masyarakat terhadap setiap watak yang dipegang.

“Sepanjang berlakon, hanya beberapa kali sahaja saya diberi peranan yang baik-baik. Pada mulanya saya takut juga bila selalu jadi jahat.

“Apakah nasib saya akan sama dengan sahabat saya Allahyarham A Rahim yang sering dikecam apabila berdepan masyarakat.

“Tapi, Alhamdulillah, saya tidak pernah diherdik, dibenci mahupun dicaci hanya kerana watak-watak saya itu. Kerana itu, saya tidak kisah setiap kali diberikan watak jahat,” katanya.

Tiada asas silat

Bapa kepada 16 anak, 47 cucu ini berkata, penglibatan dalam dunia lakonan sebenarnya mengajarnya banyak perkara terutama seni mempertahankan diri.

“Percaya atau tidak, saya tidak ada asas dalam silat. Saya hanya berlatih di luar set sebelum bermulanya penggambaran.

“Saya cuma pernah belajar tomoi, itu pun masa saya kecil-kecil dahulu kerana ibu saya berasal dari Thailand. Tetapi, daripada suka-suka berlatih, ia menjadi pula. Orang kata, bunga silat saya cantik,” katanya.

Beliau beruntung kerana pengarah dan krew filem banyak memberi tunjuk ajar terutamanya S Kadarisman.

“Itulah guru silat sebenar. Saya belajar sikit-sikit sahaja. Tak ada pergi kelas pun. Cuma apabila sesi latihan, kami buat betul-betul dan ingat setiap pergerakan.

“Saya anggap apa yang ada pada saya ketika itu adalah semula jadi. Mungkin kerana komitmen pada kerja membuatkan kita bersungguh-sungguh,” katanya yang tegar dengan imej berjanggut melepasi dagu.

Berdarah kacukan Arab, India dan Thailand, Latiff pernah membintangi filem Anakku Suamiku, Dang Lenggang, Anak Setan dan Ribut Di Hujung Senja.

Tidak hanya di layar perak, Latiff turut terkenal dengan watak pendekar bagi drama bersiri yang popular sewaktu ketika dahulu. Drama seperti Musang Hitam antara drama yang berjaya meletakkan Latiff antara pelakon yang tinggi ilmu silatnya.

Menginjak usianya, Latiff terus diburu untuk membawakan watak lebih islamik.

Tahun ini merupakan tahun kedua Latiff tidak lagi berlakon.

"Ada lagi tawaran yang datang, tapi kerana faktor kesihatan, saya terpaksa tolak. Sekarang dah tak jadi jahat lagi. Kebanyakan watak semua yang baik-baik sahaja. Tak ada adegan jerit pun, cuma saya ni semput. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain hanya kerana saya, lebih baik tidak berlakon lagi. Walaupun semangat tu ada untuk berlakon, tetapi saya tahu, saya tidak mampu lagi.

"Kali terakhir saya berlakon untuk filem Penanggal dua tahun lalu. Selepas daripada itu, saya habiskan masa di rumah sahaja. Nak keluar berjalan pun tak boleh," katanya yang berharap dapat menunaikan Umrah.

Latif berharap, jika diberikan kesihatan yang baik, dia mahu mengerjakan ibadah Umrah ataupun menunaikan Haji.

"Hanya itu yang saya doa... saya mahu mengerjakan umrah... doakan saya sihat ye," katanya.
Powered by Blogger.