F Latar Hong Kong penyeri Strawberi & Karipap | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Latar Hong Kong penyeri Strawberi & Karipap

Siri drama komedi kanak-kanak popular, Strawberi & Karipap kembali dengan musim ketiga dan jalan cerita yang lebih menarik khusus untuk memenuhi cita rasa peminat setianya.

Selain bintang cilik, Rykarl Iskandar sebagai Haikal dan Mia Sara (Nini), cerita ini menampilkan gandingan baru Hisyam Hamid (Faris) dan Fouziah Gous (Maya) selaku teraju utamanya.

Drama bersiri 13 episod arahan Feroz Kader dan terbitan Global Station Sdn Bhd ini turut dijayakan pelakon seperti Zizan Nin (Hairi), Nelydia Senrose (Lisa) dan seorang lagi pelakon cilik, Chia Shue En.

Apa yang menarik, drama bersiri ini memaparkan keindahan dan keunikan kota metropolitan Hong Kong menerusi kerjasama dengan Hong Kong Tourism Board (HKTB).

Strawberi Karipap Musim ketiga, Hello Hong Kong! membawa penonton mengikuti kembara watak Nini dan Haikal meneroka tarikan kota metropolitan ini seperti Hong Kong Disneyland, Ocean Park dan The Peak pada Mac lalu.

Tidak ketinggalan, paparan pelbagai restoran makanan halal yang lazat seperti The Spice Restaurant dan Ebeneezer’s Kebabs dan Pizzeria. Bagi pelakon kacak kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, 31, dia terima tawaran berlakon dalam drama bersiri itu kerana ingin menimba pengalaman bekerjasama dengan produksi Astro Ceria yang banyak menerbitkan program kanak-kanak.

“Sebagai bapa kepada dua anak, pastinya saya tertarik dengan watak Faris, bapa kandung Haikal dalam cerita ini. Sekurang-kurangnya, watak dilakonkan dapat mengubat rindu kepada dua anak yang dijaga ibu bapa di Singapura.

“Bukan mudah untuk berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil tetapi saya menganggapnya sebagai pengorbanan sebagai bapa demi mencari rezeki dalam bidang seni.

“Saya banyak meluangkan masa dengan Rykarl yang memegang watak Haikal (anak kandung Faris) sepanjang penggambaran di Hong Kong. Secara kebetulan, usianya juga hampir sebaya dengan anak lelaki saya,” katanya.

Pelakon yang memulakan kerjaya lakonan di Malaysia pada 2013 mengakui dia juga berpeluang meneroka keindahan kota metropolitan Hong Kong sepanjang penggambaran di sana pada Mac lalu.

“Ia pertama kali saya menjalani penggambaran drama di Hong Kong yang terkenal dari aspek pelancongan. Aspek sinematografi berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit bandar raya Hong Kong yang cukup moden pastinya memberikan ‘mood’ berbeza dalam drama ini.

“Selain menikmati keindahan pelbagai lokasi yang menjadi tumpuan pelancong asing di sana, kami juga tidak ada masalah untuk mencari makanan halal kerana ia membabitkan kerjasama Hong Kong Tourism Board.

“Kami turut berdepan dengan masalah cuaca seperti kabus tetapi kru tetap dapat merakamkan pelbagai tempat menarik di Hong Kong yang dipaparkan pada penonton dalam cerita ini,” katanya.

Tak ‘bayangi’ Zizan Nin

Ketika diminta mengulas dakwaan dia mengambil alih watak utama daripada Zizan Nin pada musim terdahulu, Hisyam yang melonjak namanya menerusi drama bersiri Ariana Rose menafikannya.

“Tidak timbul soal saya mengambil alih watak utama daripada Zizan kerana Faris adalah watak baru yang diwujudkan penerbit mengikut kehendak skrip musim terbaru ini.

“Saya difahamkan watak Faris dan Maya diwujudkan untuk kelainan, sekali gus mengembangkan lagi jalan cerita ini.

“Jalan cerita musim baru ini bermula dengan watak Pak Su Hairi (lakonan Zizan) dan Aunty Lisa (Nelydia) sudah berkahwin dan mereka membina kebahagian mereka sendiri.

“Justeru, ibu kandung Nini iaitu Maya (lakonan Fouziah) yang sudah berkahwin dengan Faris juga membuat kejutan kepada Nini dan Haikal dengan mengajak mereka tinggal di Hong Kong,” katanya.

Fouziah jiwai watak ibu

Selepas bergelar ibu, Fouziah mengakui dia rindu untuk kembali berlakon selepas berehat selama dua tahun dari bidang seni tanah air.

Justeru, kata Fouziah, 34, dia sukar menolak tawaran untuk beraksi dalam drama bersiri Strawberi & Karipap untuk musim ketiga itu.

“Saya juga terima tawaran berlakon dalam cerita ini kerana menyukai konsep cerita berkenaan dan jadual penggambaran juga fleksibel. Pada masa sama, saya juga tertarik dengan watak Maya (ibu kandung Nini) yang juga watak baru dalam cerita itu.

“Paling penting, pihak produksi juga bertolak ansur sepanjang penggambaran drama bersiri ini dan membenarkan saya membawa anak sekali sepanjang di Hong Kong,” katanya.

Ditanya sama ada dia kini kembali aktif berlakon, kata Fouziah, dia hanya menerima watak yang sesuai dengan statusnya sebagai ibu kerana keluarga menjadi keutamaannya sekarang.

“Terus terang, saya memang ‘demand’ setiap kali menerima tawaran berlakon kerana ingin memastikan masa bekerja tidak terlalu panjang sehingga mengabaikan anak, Muhammad Zeeshan yang baru berusia lima bulan,” katanya.

Fouziah juga mengakui dia sukar berenggang dengan anaknya yang turut menyusu badan sepenuhnya.

“Walaupun memiliki pembantu rumah, saya lebih selesa menjaga anak sendiri walaupun terpaksa dibawa ke lokasi penggambaran.

“Setakat ini, saya tiada masalah yang besar untuk membawa anak ke tempat kerja kerana Zeeshan tidak banyak meragam dan senang untuk menjaganya,” katanya.

Drama bersiri Strawberi & Karipap musim ketiga sudah mula bersiaran pada 7 Mei lalu di saluran Astro Ceria (611) dan Astro Maya HD (135)pada setiap Sabtu jam 11 pagi.
Powered by Blogger.