F Lagu Hafiz untuk Effy | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lagu Hafiz untuk Effy

Curahan rasa hati untuk isteri tercinta diungkap–kan melalui single terbaru penyanyi, Hafiz Suip, 26, berjudul Andai.


Buat julung kalinya lagu ciptaan Zul 2by2 itu dinyanyikan secara eksklusif untuk isteri tercinta, Nureffy Jesrell Abdullah, 24, di majlis persandingan mereka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Ahad lalu.

Hafiz berkata, lagu itu adalah single terbarunya yang dicipta khas untuk Effy sebagai nukilan rasa cintanya yang disampaikan melalui lirik lagu.

“Lagu ini dihasilkan dengan bantuan Zul 2by2. Ia pertama kali diperdengarkan kepada tetamu yang hadir malam ini dan sudah tentu ditujukan khas untuk isteri tercinta.

“Setakat ini saya sudah rakamkan tiga single dan dalam proses untuk menghasilkan lebih banyak lagu untuk album ketiga. Sasaran saya ialah tujuh single sebagai perlambangan tujuh tahun saya berada di dalam industri muzik.

“Untuk album ketiga ini, insya-Allah akan ada sedikit kelainan berbanding album sebelum ini,” katanya.

Dalam majlis persandingan itu, Andai ialah lagu terakhir dipersembahkan Hafiz dan Effy yang ketika itu di atas pelamin kelihatan sebak dan terharu.

Persembahan Hafiz diakhiri dengan masing-masing mengucapkan kata-kata cinta pada penghujung lagu.

Majlis persandingan bertemakan ‘English Garden’ itu menjadi pilihan pasangan muda ini yang masing-masing segak menggayakan pakaian rekaan pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat.

Pasangan ini bertunang pada 27 Februari tahun lalu selepas hampir lima tahun bercinta dan diijab kabul dalam satu majlis tertutup pada Sabtu lalu di kediaman pengantin perempuan di Kuching.

Terdahulu, pada malam Sabtu, majlis persandingan pihak perempuan diadakan di Hotel Pullman, Kuching bertemakan songket tradisional Melayu.

Majlis persandingan Ahad lalu yang berlangsung meriah dimulakan dengan bacaan selawat mengiringi Hafiz dan Effy ke atas pelamin.

Acara menepung tawar kedua-dua mempelai dimulakan tetamu kenamaan iaitu isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Norkiah, diikuti Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Menariknya, pada majlis persandingan ini, Hafiz dan Effy turut mengikuti adat Melayu Sarawak iaitu adat Turun Naik Tangga.

Hafiz memimpin Effy naik beberapa anak tangga di pelamin sebanyak tiga kali sebagai syarat adat.

Mengikut adat ini, ia bagi membiasakan pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan dan melambangkan naik turun kehidupan berkeluarga. Biasanya, adat ini dibuat sebanyak tujuh kali.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan Shahrul AF, Misha Omar, Bob AF dan kumpulan muzik daripada Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Sarawak.

Pasangan pengantin baru ini disifatkan sebagai pasangan serasi dan menjadi bualan tetamu yang saling memuji kedua-dua pasangan sebagai seorang yang sangat merendah diri, berbudi bahasa dan menghormati orang tua.

Hafiz berkata, perkara yang membuatkan dia tertarik dengan Effy kerana dia seorang yang sangat taat kepada ibu bapa dan mengormati orang tua.

“Saya yakin jika Effy sangat taat kepada ibu bapanya, sudah pasti dia akan taat kepada saya dan dapat melayan dan menjaga ibu bapa saya dengan baik.

“Ia antara ciri-ciri Effy yang membuatkan saya jatuh cinta dan keputusan saya melamarnya sebagai isteri adalah tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepadanya pada setiap gambar yang dimuat naik di Instagram.

“Terima kasih kepada mereka yang mendoakan semoga perkahwinan ini kekal hingga ke akhir hayat dan ucapan tahniah yang tidak putus-putus. Terima kasih kepada rakan media, peminat, keluarga dan semua yang terbabit.

“Tidak sangka saya sudah bergelar suami orang dan bermula fasa baru dalam kehidupan. Doakan saya supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.
Powered by Blogger.