F Lagu duet dengan Usher lonjak Instagram Yuna | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lagu duet dengan Usher lonjak Instagram Yuna

Penyanyi mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna tidak menyangka jumlah pengikut akaun Instagram miliknya melonjak selepas single duet berjudul Crush yang menampilkan Usher, dilancarkan. Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai, 30, berkata, jumlah pengikutnya bertambah daripada 312,000 orang kepada 320,000 orang selepas lagu Crush diperdengarkan. "Alhamdulillah, ini bermaksud, peminat muzik di Eropah mula mengenali saya. Lima tahun membina nama di AS, akhirnya ia menampakkan hasil. "Mungkin ada pihak yang melihat saya santai dan mudah mendapat apa yang diingini. Tetapi hakikatnya, saya bekerja keras untuk berada pada tahap ini. "Saya berpuas hati dengan apa yang saya miliki sekarang. Saya yakin, album baharu saya, Chapters akan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan...InsyaAllah," katanya ketika dihubungi dari Los Angeles (LA), tengah hari tadi. Single Crush yang dihasilkan bersama Usher, dilancarkan beberapa minggu lalu dan terus menjadi hit di Malaysia dan Eropah. Crush yang dicipta sepenuhnya oleh Yuna, dimuatkan dalam album terbaharunya, Chapters. Selain komen positif dan kata-kata semangat peminat tempatan, Yuna turut menjadi perhatian penggiat industri muzik di AS. Malah, ramai pengamal media di negara itu menjangka Yuna bakal menggegarkan industri muzik AS, tidak lama lagi. Yuna juga bakal mengadakan persembahan jelajah AS dan Eropah merangkumi 15 lokasi antaranya Berlin, Amsterdam, Paris, New York dan LA. Sementara itu, Yuna berkata penerimaan masyarakat Eropah terhadap dirinya dalam industri muzik menunjukkan tidak semua penduduk benua itu membenci orang Islam. "Perkara ini agak 'tricky' sebenarnya. Benar ada segelintir pihak yang menilai golongan Islam sebagai pengganas sehingga menjadi Islamophobia. "Tetapi ada juga yang bersikap terbuka dan positif. Ini terbukti menerusi penerimaan mereka terhadap muzik saya," ujarnya. Nyanyi lagu tema Olimpik Rio 2016 Dalam perkembangan lain, Yuna terpilih mewakili penyanyi Asia bersama empat artis antarabangsa mendendangkan lagu promosi Sukan Olimpik Rio 2016 berjudul The Fire. Lagu tema itu menampilkan menampilkan penyanyi Diogo Nogueira dari Brazil, Nneka (Nigeria), Corinne Bailey Rae (Britain) dan pemenang anugerah Grammy, Lenny Kravitz. Temasya Sukan Olimpik 2016 bakal berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.


Powered by Blogger.