F Kolaborasi dua negara | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kolaborasi dua negara

KOLABORASI  pelakon dua negara, Malaysia dan Indonesia dalam penerbitan filem My Stupid Boss bukan saja berupaya mengembangkan sektor pemasaran industri filem bagi dua negara, tetapi memberi pengalaman berharga keseluruhan produksi selain mewujudkan keakraban hubungan bagi negara serumpun.

Filem yang diterbitkan syarikat produksi terkenal dari Indonesia, Falcon Pictures (FC) mengangkat karya anak tempatannya tulisan Chaos@work yang mengambil latar kejadian berlaku di sekitar Kuala Lumpur.

Apabila membabitkan penggambaran sepenuhnya di negara ini, sudah tentu peluang bagi pelakon tempatan untuk terbabit sama lebih cerah yang memberi pengalaman berbeza yang dapat mematangkan kerjaya seni mereka.

Kisah yang memaparkan kehidupan harian masyarakat yang menghabiskan masa di pejabat kerana tuntutan kerja, filem My Stupid Boss cenderung menitikberatkan usaha menyatukan hubungan dua negara serumpun seperti objektif utama penerbitannya.

Karya yang diangkat daripada empat siri novel paling laris di republik itu menggunakan judul yang sama berkisar mengenai kehidupan realiti yang dilalui mana-mana pekerja ketika berhadapan dengan majikannya setiap hari.

Filem itu juga, jelas menjadi percubaan pertama kerjasama produksi FC yang pernah menerbitkan filem pecah panggung di negara seberang iaitu Laskar Pelangi, Comic 8 dan Comic 8: Casino Kings memperluaskan pasaran filem ke negara ini.

Penerbitnya Frederica, berkata, Malaysia menjadi negara pilihan untuk memperluaskan jaringan filem kerana ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Sebagai penggiat filem, menjadi impian setiap syarikat produksi untuk membawa produk mereka merentasi sempadan. Saya melihat industri perfileman Malaysia cukup berkembang pesat, terutama ketika seluruh dunia menghadapi masalah sama iaitu kemerosotan jumlah penonton ke pawagam.

“Apatah lagi, Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun yang hidup berjiran dan mempunyai cita rasa serta budaya yang sama,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

 Kongsi pengalaman

Frederica yang dinobatkan sebagai Produser Terbaik pada Anugerah Filem Box Office Indonesia (IBOMA) 2016 di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini turut memberi peluang kepada pelakon negara ini berkongsi pengalaman dalam penerbitan filem ke-19 syarikatnya itu.

“Filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari, termasuk dua minggu di negara ini mengambil latar 100 peratus lokasi luar di Kuala Lumpur. Sementara itu, penggambaran dalaman pula dilakukan di studio di Jakarta.

“Menariknya, gabungan pelakon Indonesia dan Malaysia dipilih berdasarkan populariti mereka di negara masing-masing. Bunga Citra Lestari atau BCL dan Reza Rahadian mewakili Indonesia manakala Atikah Suhaimie, Bront Palarae serta Chew Kinwah pula membina reputasi yang meyakinkan di Malaysia.

“Kami juga melantik syarikat perfileman berpengaruh iaitu Skop Production Sdn Bhd sebagai pengedar filem ini di seluruh pawagam di Malaysia,” katanya yang berpuas hati dengan kerjasama diberikan semua pihak sepanjang menjalani penggambaran di negara ini.

Filem yang menjalani penggambaran bermula Oktober tahun lalu juga akan ditayangkan serentak di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bermula 19 Mei depan.

Sinopsis

Mengisahkan Diana lakonan Bunga Citra Lestari yang harus mengikuti suaminya, (Alex Abbad) berpindah dan bekerja di Malaysia.

Di sana, Diana terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka dan bekerja di sebuah pejabat yang memiliki pekerja dari pelbagai negara. Konflik berlaku apabila Diana terpaksa berhadapan dengan majikannya, Bossman yang juga berasal dari Indonesia (Reza Rahadian). Bossman  memiliki tingkah laku yang pelik tetapi karakternya melucukan.

Bossman memiliki prinsip yang luar biasa, berbeza dengan majikan lain. Di pejabatnya, tiada peraturan dan sistem yang jelas dalam pengurusan syarikat membuatkan urusan harian menjadi huru-hara.

Bossman mempertahankan prinsip tersendiri iaitu ‘Bossman Always Right’. Setiap keinginannya harus dituruti semua pekerjanya.

Di situ, Diana mula mengenali rakan setugasnya iaitu Norahsikin lakonan Atikah Suhaimie, Adrian (Bront Palarae), Azhari (Iskandar Zulkarnain) dan Mr.Kho (Kinwah Chew) yang banyak memberi nasihat untuk berhadapan dengan Bossman.
Powered by Blogger.