F Ketua Wanita Umno Bagan Datoh meninggal dunia | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ketua Wanita Umno Bagan Datoh meninggal dunia

Ketua Wanita Umno Bagan Datoh, Aminah Abdul Manaf, 52, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), petang tadi.

Allahyarhamah yang berasal dari Tanah Lalang, Bagan Datoh menghembus nafas terakhirnya kira-kira jam 6 petang tadi selepas menjalani pembedahan di IJN Sabtu lalu.

Ketua Pemuda Umno Bagan Datoh, Dr. Nik Mohammad Azli Nik Ariffin ketika dihubungi wartawan Sinar Harian berkata, kehilangan Allahyarhamah begitu dirasai semua ahli Umno Bagan Datoh dan penduduk.

"Arwah adalah orang kuat di belakang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan banyak berjasa kepada Umno, wanita bahagian dan masyarakat setempat.

"Beliau juga seorang yang jujur, amanah dan ikhlas dalam setiap kerja yang dilakukannya," katanya.

Tambahnya, beliau mengenali Allahyarhamah sejak 2008 dan beliau sudah dianggap sebagai kakak yang sering menasihatinya.

"Hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui bagaimana sedihnya kami dengan pemergian arwah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bagan Datoh, Datuk Khairuddin Tarmizi ketika dihubungi berkata, jenazah dijangka akan dibawa pulang ke rumah Allahyarhamah di Kampung Tanah Lalang, malam ini.

"Buat masa ini anggota keluarga mangsa sedang menguruskan untuk membawa jenazah pulang bagi urusan pengkebumian dan dijangka akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanah Lalang," katanya.

Allahyarhamah yang meninggalkan seorang anak angkat dilantik sebagai Ketua Wanita Umno Bagan Datoh pada 2013.

Beliau juga merupakan Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kawasan Parlimen Bagan Datoh.
Powered by Blogger.