F Kesan gigit antara kesan mangsa didera sampai mati | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kesan gigit antara kesan mangsa didera sampai mati

Kematian seorang gadis berumur 22 tahun yang berat badannya hanya 18 kilogram serta tubuh dipenuhi kesan gigitan manusia membongkar penderitaan ditanggung mangsa yang dipercayai didera hingga menemui ajal.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kematian mangsa selepas laporan dibuat bapa kepada gadis malang itu pada 26 April lalu.

Menurutnya, bapa gadis itu memaklumkan bahawa anaknya itu meninggal dunia di rumah mereka di Batu 5, Binjai disebabkan demam panas.

"Bagaimanapun selepas pihak polis datang menjalankan pemeriksaan terhadap mayat mangsa terdapat beberapa perkara yang mendatangkan syak terhadap si mati.

“Pada peringkat awal kita buka kes di bawah mati mengejut tapi selepas pemeriksaan dilakukan kita dapati adanya unsur-unsur jenayah dan susulan itu mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

"Selepas dua bedah siasat dijalankan kita dapati mayat tersebut mengalami jangkitan kuman dan ada kesan kebuluran. Sebahagian besar tubuh mangsa juga ada kesan gigitan manusia dan selain itu mangsa turut mengalami beberapa kecederaan lain termasuk lebam di bahagian mata,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman, di sini, hari ini.

Menurut beliau, berikutan itu pihak polis terpaksa mengklasifikasikan semula kes itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dari hasil siasatan, polis dapati mangsa tinggal di rumah di Batu 5, Binjai itu bersama bapa kandungnya yang bekerja sebagai mekanik, ibu tiri dan dua adiknya iaitu adik perempuan yang berusia 21 tahun dan adik lelaki berumur 14 tahun.

Susulan itu, Mohd Said berkata, polis menahan  bapa kandung mangsa yang berusia 49 tahun, ibu tiri yang berumur 35 tahun dan kedua-dua adik mangsa di rumah bapa ibu tiri mangsa di Geliga, di sini, pada jam 11.50 pagi semalam.

Menurutnya, keempat-empat ahli keluarga mangsa itu ditahan reman selama tujuh hari bermula haru ini bagi membantu siasatan lanjut kes itu.

"Mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik bersama dua adiknya berada di bawah penjagaan bapanya selepas kedua ibu bapanya bercerai.

"Adik lelakinya yang berumur 14 tahun itu juga sudah tidak bersekolah," katanya.

Difahamkan ibu kandung mangsa merupakan wanita Cina mualaf dan menetap di Pulau Pinang.

Mohd Said memberitahu, disebabkan kematian mencurigakan itu ibu kandung mangsa turut membuat laporan polis agar siasatan lanjut dilakukan berhubung kematian anaknya itu.

“Dalam siasatan lanjut kes ini, pihak polis juga akan dapatkan ujian perubatan gigi terhadap suspek yang ditahan, kita akan minta khidmat pihak doktor gigi,” katanya.

Sehubungan itu juga, Mohd Said turut meminta saksi sekeliling terutama jiran tetangga mangsa yang tahu kemungkinan mangsa didera agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat  kes itu menerusi talian 017-2344542 atau boleh datang ke balai polis berdekatan.

Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada jam 6 petang, 30 April lalu.
Powered by Blogger.