F Kerjaya Aishwarya Rai belum terhenti | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kerjaya Aishwarya Rai belum terhenti

AISHWARYA Rai adalah antara bintang Bollywood yang sering mendapat perhatian peminat filem di seluruh dunia.

Berilah apa sahaja watak kepadanya, lakonan ratu cantik dunia 1994 ini pasti tidak akan mengecewakan.

Tidak hairanlah, sepanjang penglibatannya dalam bidang lakonan, pelbagai anugerah dan pengiktirafan berjaya diraih.

Kejayaan itu sekaligus telah melonjakkan namanya di dalam kelas yang tersendiri bukan hanya di negara kelahiran, malah juga di peringkat antarabangsa.

Tidak hanya itu, kejelitaan yang dimiliki aktres berusia 43 tahun ini juga telah menjadikan dirinya sebagai ikon kepada wanita di seluruh dunia.

Biarpun popularitinya menjangkau satu dunia, namun Aishwarya Rai memiliki pendirian yang teguh untuk tidak berkongsi kehidupan peribadinya kepada masyarakat atau peminat.

Selepas lebih kurang tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama aktor Abhishek Bachchan, Aishwarya Rai telah disahkan hamil dan bermula daripada itu perjalanan seninya mulai perlahan.

Sebagai seorang anak seni, bintang filem Devdas ini tidak pernah terlepas daripada tempias kontroversi mahupun kritikan masyarakat.

Selepas melahirkan puteri sulungnya, Aaradhya Bachchan, pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya gara-gara gagal mengembalikan semula bentuk badan asalnya.

Tidak mudah melatah dengan pandangan negatif itu,  Aishwarya Rai bersikap terbuka dan hanya menjelaskan bahawa saat itu dia hanya mahu menikmati peranannya sebagai seorang ibu.

Kritikan demi kritikan ditaburkan ke atasnya, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus kekal yakin untuk menjalani karier seni.

Selepas lima tahun berehat dalam lakonan, akhirnya dia kembali mewarnai layar perak dengan penampilan pertamanya selepas bergelar ibu menerusi filem seram Jazbaa tahun lalu yang turut dibarisi pelakon Irrfan Khan, Shabana Azmi dan Anupam Kher.

Perkukuh profil

Terbaharu, menantu kepada lagenda Bollywood, Amitabh Bachchan ini tampil menerusi watak berbeza bernama Dalbir Kaur menerusi filem biopik, Sarabjit bagi mengukuhkan profil lakonannya yang sudah menjangkau lebih sedekad.

Menurut laporan Indian Express, filem arahan sutradara Omung Kumar itu menceritakan kisah benar mengenai seorang petani dari India, Sarabjit Singh yang telah dituduh sebagai pengganas oleh kerajaan Pakistan sehingga dia dipenjarakan di negara itu.

Bercerita mengenai watak yang dibawa, Aishwarya Rai memberitahu peranan Dalbir Kaur sebagai seorang adik yang bersusah payah mempertahankan kebenaran dan usaha kerasnya selama 23 tahun untuk membebaskan abangnya adalah sesuatu yang mencabar.

“Watak ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan penampilan sebenar saya dan itu sangat memberi cabaran kepada saya.

“Untuk menjayakan watak ini, saya mengambil keputusan untuk tidak bertemu atau mendapatkan nasihat daripada Dalbir sendiri kerana saya percaya pengarah memiliki cara yang tersendiri mendorong saya menjiwai watak ini.

“Lagi pun, kita ada sumber yang kuat bagi memastikan watak dan jalan cerita ini berada di landasan yang benar,” ujarnya ketika pelancaran trailer ‘Sarbjit’ baru-baru ini.

Tambahnya lagi, naskhah berat itu telah mencabar kredibilitinya sepanjang bergelar seorang pelakon dan peluang ini telah lama dinantikannya.

“Sudah lama saya menantikan peluang seperti ini dan sudah tentu saya tidak mahu mensia-siakannya kerana watak ini penting.

“Tambahan pula ia kisah benar dan mungkin dengan adanya filem ini ia akan memberi kesan yang mendalam terhadap penontonnya,”  katanya.
Powered by Blogger.