F Kerajaan P Pinang diminta jelaskan kos terowong mahal | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kerajaan P Pinang diminta jelaskan kos terowong mahal


Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta memberi penjelasan mengapa anggaran kos pembinaan terowong dasar lautnya lebih mahal sehingga 250 peratus berbanding kos terowong Smart di Kuala Lumpur.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata kos pembinaan terowong Smart sepanjang 9.7 kilometer (km) yang siap pada Mei 2007 hanya RM1.93 bilion, manakala anggaran kos terowong Pulau Pinang ialah sebanyak RM3.6 bilion.

"Jika kita boleh mengunjurkan kadar kenaikan harga (lima peratus setiap tahun bagi tempoh sembilan tahun) berdasarkan pembinaan terowong yang lebih panjang dibina di tengah-tengah Kuala Lumpur, kos pembinaan terowong ini hanya RM2.007 bilion (RM2,007,000,000).

"Saya sedar cara pengiraan ini boleh dipertikai, mungkin nanti exco boleh jelaskan," katanya ketika membahaskan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dun di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, terowong Smart juga lebih panjang berbanding terowong dasar laut yang dijangkakan hanya 7.2km.

"Secara perbandingan juga, untuk satu km terowong dasar laut kosnya mencecah RM500 juta, berbanding kira-kira RM199 juta bagi satu km terowong Smart, sedangkan pembinaan terowong Smart adalah di tanah batu kapur serta dalam persekitaran populasi dan bangunan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Muhammad Farid turut menggesa kerajaan negeri menjelaskan baki pembayaran kos kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk terperinci dan impak alam sekitar projek terowong itu akan dibuat kepada Konsortium Zenith BUCG (Zenith).

Beliau berkata baki yang belum dan perlu dibayar untuk kerja dilaksanakan Zenith itu sehingga 15 Feb 2015 adalah kira-kira RM70 juta.

"Disebabkan kaedah pembayaran atau kos bagi menjalankan kajian ini adalah menerusi pemberian tanah, maka kita mahu penjelasan tanah mana lagi yang akan diberikan kepada Zenith," katanya.
Powered by Blogger.