F 'Kami terkilan...' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Kami terkilan...'

Konflik di antara Search dengan pemain dramnya, Yazit bagai tiada kesudahan.

Yazit yang membuat laporan polis pada 4 Mei lalu mendakwa anggota Search melakukan pecah amanah termasuk berkenaan pembayaran wang pendahuluan untuk Konsert 35 Tahun Search yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Ogos ini.


Search kemudian meminta Yazit membuat permohonan maaf secara terbuka atas tuduhan pecah amanah itu.

Namun Yazit enggan berbuat demikian kerana yakin dia berada di pihak yang benar.

Ibarat gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Inilah yang dialami penganjur konsert berkenaan, Af Jets Sdn Bhd yang dilihat seperti menjadi ‘mangsa’ dalam pergolakan band rock nombor satu tanah air ini, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah melaburkan sejumlah wang yang besar.

Ikuti temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Af Jets, Amrul Nizar Anuar mengenai apa yang berlaku.

 Dengan konflik yang berlaku ini, adakah konsert ini akan diteruskan? Difahamkan, sebelum ini ada dakwaan mengatakan konsert ini bakal dibatalkan.

AMRUL: Konsert 35 Tahun Search tetap akan diteruskan, ia tidak akan dibatalkan kerana kami sudah membuat pelaburan yang besar. Saya akui ia sedikit sebanyak sudah mengganggu persiapan konsert terutama dari segi jualan tiket, tetapi saya yakin ia tetap akan berjaya.

Apa harapan anda sekarang?

AMRUL: Saya berharap mereka akan segera menyelesaikan perkara ini. Jujur saya katakan, sebagai penganjur kami terkilan apabila isu ini timbul. Kami anjurkan konsert ini kerana kami peminat Search. Sedikit sebanyak ia mungkin menjejaskan jualan tiket konsert. Saya harap, Yazit dan Search dapat menyelesaikan isu ini dengan sebaiknya.

Bagaimana anda tahu berlaku pergolakan mengenai bayaran terhadap Search?

AMRUL: Saya mendapat tahu selepas bertemu Yazit dan dia menyatakan tidak mendapat bahagian daripada bayaran sejumlah RM75,000 yang saya berikan kepada Search pada Disember tahun lalu. Search juga berjanji akan memberikan bahagian Yazit.

Memang Search ada memberitahu akan penyingkiran Yazit tetapi atas sebab apa saya tidak pasti. Namun, mereka berjanji akan menyelesaikan perkara itu dengan baik.

Apabila Yazit menyuarakan rasa terkilan kerana tidak menerima bayarannya, kami menyerahkan bayaran kedua sebanyak RM10,000 seorang kepada semua anggota Search pada Mac lalu.

Boleh jelaskan bagaimana pembahagian bayaran dilakukan pada awal perancangan konsert?

AMRUL: Mengikut draf asal Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) berkaitan konsert berkenaan, kelima-lima nama ahli kumpulan itu dinyatakan dalam MoU itu.

Namun, selepas Search memulangkan semula MoU perjanjian akhir kepada kami, mereka cuma memberi kami empat nama dan tidak ada nama Yazit. Search ketika itu menyatakan mereka mempunyai alasan terhadap perkara itu. Bagaimanapun, Af Jets tidak tahu apa perkara sebenar yang berlaku dan kami akur dengan keputusan Search.

Mengapa anda memilih Search dan mengadakan konsert untuk mereka?

AMRUL: Kami meminati Search sejak dulu dan kami yakin mereka ada ramai peminat yang akan hadir menyaksikan konsert berkenaan. Saya sama sekali tidak menyangka akan terjadi pergolakan seperti ini saat konsert bakal berlangsung tidak lama lagi.
Powered by Blogger.