F 'Kami menyanyi sekuat-kuatnya' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Kami menyanyi sekuat-kuatnya'

Melihat kelibat pontianak dan terjumpa sekumpulan ikan lumba-lumba adalah antara pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh Syahril Mohamad, 30, dan Korperal Mohd Firdaus Jalil, 34.

Kedua-dua kaki pancing itu bagaimanapun tetap kuat semangat dan yakin bantuan tetap akan tiba meskipun turut diuji dengan angin kuat, selain turut melihat berlakunya pusaran air.

Mereka adalah antara 12 pemancing termasuk tekong dan awak-awak yang dilaporkan hilang di Pulau Aur, Mersing, Khamis lalu, berikutan terkandas selama tiga hari di lautan berkenaan.

Berdepan detik cemas itu juga membuatkan Mohd Firdaus yang berkhidmat di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, menggunakan pengalaman lebih 10 tahun dalam unit beruniform itu.

“Semasa mendapat tahu saluran minyak bocor dan kehabisan bahan tersebut, saya hanya mampu terdiam dan cuba bertenang sebaik mungkin dan kelebihan sebagai anggota polis, saya gunakan untuk bantu menenangkan rakan lain.

“Tidak dinafikan, ada waktu keadaan menjadi tegang antara kami dan tekong, namun kami berusaha untuk cuba menenangkan antara satu sama lain dan saya turut mengajak mereka sentiasa berfikiran positif,” katanya.

Bapa dua anak dan berasal dari Melaka itu memberitahu, tambah merisaukan apabila kedudukan bot yang mereka naiki hampir memasuki perairan Indonesia kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing, selain bekalan makanan juga hampir habis.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur apabila melihat kelibat helikopter Maritim semalam. Tiada kata-kata yang terkeluar, hanya mampu mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT, sekali gus mahu segera pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Bagi Syahril yang berasal dari Pulau Pinang pula, pelbagai pendekatan digunakan mereka untuk bertenang dan tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan, dan ia termasuk meneruskan aktiviti memancing selain menyanyi bersama-sama.

“Ada waktu kami menyanyi sekuat-kuatnya semata-mata untuk menghilangkan tekanan, selain menenangkan diri, malah kami turut membuat isyarat SOS menggunakan kabus dengan harapan ada kapal dagang yang melihat,” katanya.

Sungguhpun terpaksa berdepan pengalaman getir itu, kedua-dua mereka memberitahu, tidak akan pernah serik keluar memancing pada masa akan datang kerana ia adalah hobi sejak lapan tahun lalu serta sukar untuk dilupakan.
Powered by Blogger.