F Jurey sanggup lepas jawatan Presiden GAFIM | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Jurey sanggup lepas jawatan Presiden GAFIM

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Datuk Jurey Latiff Rosli sedia bertanggungjawab atas tindakannya menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berhubung 11 perkara berkaitan industri yang pernah dibangkitkan sejak 20 tahun lalu. Jurey juga sanggup melepaskan jawatannya sebagai Presiden GAFIM yang tamat tahun depan selain semua jawatan dalam persatuan seni pada pemilihan akan datang. Ini kerana beliau berkata, tindakannya itu menjadi isu besar terutama di media sosial sehingga dikatakan bertelagah dengan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman. "Surat itu mewakili suara industri yang sekian lama menantikan penyelesaian isu yang berlarutan selama 20 tahun. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Datuk Kamil, malah kami sudah berbincang pada Ahad lalu untuk menamatkan pertikaian yang tercetus di media sosial. "Sebagai presiden yang dilantik ahli daripada tujuh persatuan yang bernaung di bawah GAFIM, saya sedia melepaskan jawatan dan menerima undi tidak percaya ke atas kepimpinan saya. Ia dilakukan atas rasa tanggungjawab selepas menerima tekanan dan dihentam teruk kerana isu ini. "Ia bukan isu individu, sebaliknya mewakili suara akar umbi persatuan yang perlu saya bangkitkan sebagai presiden," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Kamil dan Timbalan Presiden FINAS, Datuk Yusof Haslam di FINAS, hari ini. Enggan mendedahkan isi kandungan surat yang dihantar pada 26 April lalu, Jurey berkata, perbalahan antara mereka sudah selesai dan mahu menumpukan kepada agenda pembangunan industri bersama FINAS. "Selepas ini, apa juga yang berlaku dalam industri, saya akan terus berbincang dengan Datuk Kamil dan tidak lagi menggunakan saluran lain. Sebelum surat itu dihantar, saya ada bermesyuarat dengan ahli majlis kerja daripada persatuan di bawah GAFIM pada 22 April lalu dan tidak mempunyai sebarang masalah. "Isu mula timbul apabila surat terbabit tersebar hingga mencetuskan masalah besar apabila saya dihentam dan dituduh bertelagah dengan Datuk Kamil," katanya. Sementara itu, Kamil yang turut menganggap perbalahan antara mereka sudah selesai dan pihaknya akan terus berbincang dengan GAFIM bagi mencari penyelesaian berhubung masalah industri seni. "FINAS sedang dalam cadangan meminda Akta FINAS yang kini pada peringkat akhir. Ia bagi mengukuhkan lagi peranan FINAS dengan mewujudkan akta harta intelek (IP) yang tidak membenarkan penyiar memegang IP kecuali pengkarya. "Selepas akta ini dipinda, apa saja permasalahan yang berlaku dalam industri dapat diselesaikan termasuk isu gaji minimum. Saya tidak pernah salahkan Jurey, sebaliknya hanya memberi panduan dan cadangan kerana FINAS adalah sebuah agensi di bawah kerajaan," katanya. Kamil berkata, FINAS juga tidak akan mencampuri masalah dalaman persatuan seni, sebaliknya bersedia mendengar setiap masalah dan cuba mencari jalan penyelesaian bersama.


Powered by Blogger.