F Jumpa Dr M: 'Saya wakili ahli Parlimen PKR' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Jumpa Dr M: 'Saya wakili ahli Parlimen PKR'

Ahli Parlimen PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin menegaskan kehadirannya dalam pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen PKR yang lain.

Menurutnya, kehadirannya itu tidak perlu dispekulasikan meskipun terdapat surat peringatan dari penjara ditulis bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar, baru-baru ini.

"Pertemuan hari ini adalah hasrat Tun Mahathir yang mahu bertemu dengan ahli Parlimen pembangkang. Tentunya kehadiran saya untuk mewakili rakan-rakan ahli Parlimen PKR kerana Pas hadir, DAP juga hadir dan Amanah juga hadir.

"Saya fikir tidak perlu spekulasi perkara ini. Tidak perlu panjangkan kerana kita sentiasa tahu, obor reformasi itu bagi kita...bagi saya bermula dengan gerakan reformasi 1998," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media bersama Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Sebelum ini, Anwar menulis surat panjang lebar menegur pimpinan PKR berhubung kerjasama parti itu dengan Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.

Namun menurut Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, dalam pertemuan itu mereka membincangkan isu-isu politik semasa berkaitan peranan ahli-ahli Parlimen.

"Ini tentunya tidak memberikan sebarang implikasi yang negatif terhadap apa yang sedang kita usahakan. Saya percaya surat peringatan DS Anwar itu pun jelas, bukan bermakna putus hubungan secara muktamad cuma diminta kita tidak lari daripada fokus, agenda rakyat, reformasi dan perubahan.

"Tentulah dalam pertemuan seperti ini, isu-isu itu dibincangkan. Seperti disebut (Tun Mahathir), isu-isu berkaitan GST, harga minyak, beban ekonomi. Jadi, ini perkara yang saya fikir tidak lari daripada asas perjuangan PKR," katanya.

Katanya lagi, sebagai antara individu yang awal menandatangani Deklarasi Rakyat, pihaknya sentiasa mengemukakan agenda reformasi sebagai satu paksi dalam perjuangan mereka untuk buat perubahan.

Dalam pertemuan lebih satu jam itu, beberapa kelibat pemimpin DAP kelihatan hadir namun pemimpin PKR, Amanah dan Pas hanya diwakili seorang ahli Parlimen sahaja.

Kelihatan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dari Pas dan dari Amanah pula ada Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusoff Rawa.
Powered by Blogger.