F Istimewa Hari Ibu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Istimewa Hari Ibu

LEBIH 100 wanita bergelar ibu diraikan sempena program Sepetang Bersama Ratu Hatiku yang diadakan di Impiana KLCC Hotel & Spa, Kuala Lumpur, pada 8 Mei lalu.

Program anjuran Maya Axis Creative Sdn Bhd dan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) itu diadakan bagi memberi peluang kepada seorang anak untuk membalas kembali kasih sayang sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Pada masa sama, ia juga bertujuan untuk memberikan tahap pengiktirafan tertinggi kepada seorang ibu yang digelar sebagai Ratu Hatiku.

Bahkan, intipati yang terdapat dalam program ini turut mengangkat budaya kasih sayang sebagai amalan kehidupan yang terpuji bagi generasi akan datang.

Menerusi program itu, pengunjung dihiburkan  oleh penyanyi terkenal seperti Heliza Helmi, Ammar Hamdan,  Noryn Aziz dan Aishah.

Bagaimanapun, sebelum kemunculan mereka, pengunjung ‘disajikan’ dengan alunan hiburan santai daripada band akustik,  Harmony.

Heliza yang bertindak sebagai hos turut memainkan peranan sebagai ‘pemula’ program apabila mendendangkan satu lagunya, Jom Zikir, kira-kira jam 4.15 petang.

“Lagu ini mengajak kita semua agar sentiasa mengingati ALLAH SWT,” katanya.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan dendangan lagu daripada penyanyi baharu, Ammar iaitu Princess Of My Heart.

Biarpun masih baharu, Ammar bijak ‘mencuri’ perhatian penonton dengan celotehnya bahkan tidak dinafikan penyanyi tersebut mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang seni suara.

Tambahan pula, Ammar bakal tampil dengan album sulungnya, dalam masa terdekat ini.

Menariknya dalam program ini, pengunjung turut diterapkan dengan pengisian ceramah daripada pendakwah bebas, Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

Lebih terkesan, pengisian ceramah itu sangat bertepatan dengan tema program ini sendiri iaitu Meraikan Seorang Ibu.

“Berbuat baik kepada ibu bapa merupakan satu amalan yang besar di dalam Islam.

“ALLAH SWT telah meletakkan amalan berbakti kepada ibu bapa sebagai amalan yang kedua tertinggi selepas mentauhidkan-Nya,” katanya.

Kemeriahan majlis kemudiannya kembali dihangatkan menerusi sesi cabutan bertuah dan persembahan fesyen Muslimah daripada Elle Zada sambil disajikan dengan jamuan makan Hi-Tea.

Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Noryn muncul dan menyampaikan dua lagu istimewa, Aku Cinta Padamu dan Beautiful Minds.

“Assalamualaikum ibu-ibu semua. Selamat Hari Ibu dan selamat berkasih sayang. Lagu ini khas buat semua ibu tersayang yang ada di sini,” katanya.

Kehadiran Noryn berjaya menggamit suasana penonton sementelahan lagi penyanyi itu pandai berjenaka, memikat hati dan melayan peminat dengan aksi manja-comelnya.

Kehangatan persembahan diteruskan dengan nyanyian mantap daripada Aishah menerusi dua lagu popularnya, Janji Manismu dan Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu.

Biarpun sudah berusia 51 tahun, vokal yang dimiliki oleh Aishah masih lagi ampuh dan gemersik sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Kata Aishah lagi, persembahan Hari Ibu cukup menggembirakan hatinya kerana dapat berkongsi kegembiraan dengan mereka yang hadir bersama keluarga.

“Hari istimewa seperti hari ini, mereka meluangkan masa bersama keluarga bagi sama-sama meraikan Hari Ibu.

“Saya doakan segala amalan kamu diterima ALLAH SWT sebagai satu bekalan di akhirat nanti. Insya-ALLAH.

“Selamat Hari Ibu,” katanya.

Selepas dua jam dihiburkan, majlis akhirnya ditamatkan dengan persembahan daripada Heliza sekali lagi.

Kali ini, penyanyi kecil molek itu memilih untuk menyanyikan lagu Standing In The Eyes, yang pernah dipopularkan oleh Ratu Rock Negara, Ella.

“Saya tahu lagu ini adalah lagu kegemaran semua orang. Jom, kita nyanyikannya bersama-sama,” katanya.
Powered by Blogger.