F Isteri Amy Search Tengking Yazit Selepas Diprovok | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Isteri Amy Search Tengking Yazit Selepas Diprovok

Vokalis kumpulan Search, Amy, menyangkal tuduhan yang dilemparkan oleh pemain drum Yazit Ahmad terhadap isterinya Norhasniza Hassan atau Norish kononnya wanita itu menengking dan bersikap kurang sopan apabila ditanyakan berhubung hal bayaran Konsert 35 Tahun Search yang bakal berlangsung pada 30 Ogos depan.

Menurut Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, beliau ada mendengar perbualan antara isterinya dan Yazit.

"Selepas isteri saya menerima pesanan suara daripada Yazit meminta menghubunginya, isteri saya pun terus menghubungi Yazit. Saya ada dengar perbualan mereka, kemudian memang isteri saya meninggi suara tetapi dia bersikap begitu selepas di provok. Iyalah, siapa yang tidak marah jika suaminya dituduh pecah amanah.

"Saya kecewa dan terkilan kerana tidak pernah ada sifat-sifat kami ingin menyamun duit itu dari Yazit," katanya pada sidang media khas berhubung kontroversi tersebut, bertempat di Hartamas, pada Rabu.

Tambah Amy, isu tersebut secara tidak langsung telah mencemarkan nama baiknya juga kumpulan Search.

"Saya sangat sedih. Kerana tuduhan ini membuatkan saya rasa seolah-olah ibadah saya dipijak-pijak apabila sesetengah pihak melemparkan cemuhan mengatakan saya ada sekolah tahfiz tapi saya penyamun. Bayangkan apa perasaan anak-anak tahfiz saya serta pandangan keluarga mereka terhadap saya?

"Selama ini saya dan anggota lain memilih untuk berdiam dengan sikap dia yang memburuk-burukkan kami tapi tindakan menuduh kami pecah amanah adalah tuduhan tak berasas. Hanya kerana dia mahukan simpati dia sanggup mencaci kawan-kawan dia.

"Sejak dia kurang sihat, kami tidak pernah tidak ingat pada dia.Sama ada dia membuat persembahan atau tidak bersama kami, dia tetap dapat bayaran. Kami bekerja keras untuk band kami sendiri. Dakwaan dia tidak dapat bayaran, itu tidak benar," tuturnya.

Sementara itu, Norish yang juga merupakan pengurus kepada Amy mengakui tindakannya memarahi pemain dram berkenaan adalah demi mempertahankan suaminya dan anggota Search yang lain selepas dituduh penipu. Tuduhan oleh Yazit itu disifatkan sudah keterlaluan dan secara tidak langsung telah menyentuh maruah keluarganya.

"Siapa-siapa pun yang memburukkan keluarga terutamanya suami, saya akan bertindak mempertahankan maruah keluarga kami.

"Dia (Yazit) yang memulakan pertengkaran tersebut malah menuduh suami saya penipu dan anggota Search yang lain sebagai pecah amanah.

"Saya tidak boleh tahan dan bertindak memarahi dia semula kerana bagi memberi kesedaran kepada dia tentang tuduhan tersebut salah," tuturnya dengan nada tegas.

Pada 4 Mei lalu, Yazit membuat laporan polis mendakwa ditengking Norish ketika dia bertanyakan soal bayaran konsert berkenaan.

Tambah Norish lagi, Yazit sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada anggota Search kerana bertungkus lumus dan bekerja keras untuk mencari rezeki mereka bersama.

"Dia patut berterima kasih kerana kami bersengkang mata meeting sampai malam untuk urusan setiap persembahan dan biarpun dia tidak bersama kami tetap sediakan bahagian (wang) dia.

"Dia terima sama banyak dengan ahli lain dapat biarpun dia tidak sihat dan tidak boleh terlibat dengan persembahan tersebut," katanya yang turut menyatakan tidak pernah menyesal dalam menegakkan maruah keluarga dan kumpulan itu meskipun mendapat kecaman oleh netizen kerana salah faham dengan isu tersebut.
Powered by Blogger.