F Irfan Huzaimi teruskan karier nyanyian | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Irfan Huzaimi teruskan karier nyanyian

JIKA dilihat perkembangan industri muzik tempatan kini, semakin ramai bakat baharu mula mencipta nama.

Apatah lagi, media sosial menjadi jalan termudah untuk mengetengahkan bakat kepada masyarakat.

Lebih membanggakan ada di kalangan mereka sudah pun memiliki pengaruh dan jumlah pengikut yang ramai biarpun belum rasmi bergelar penyanyi di arus perdana.

Turut menggunakan pendekatan yang sama, Irfan Huzaimi mengakui laman sosial adalah antara platform yang berkesan untuk mengetengahkan bakat dan impiannya bergelar penyanyi.

“Minat saya dalam bidang muzik ini timbul sejak saya berusia tujuh tahun lagi dan minat ini sentiasa didorong oleh kedua ibu bapa saya.

“Kalau diikutkan pelbagai uji bakat telah saya sertai selepas tamat persekolahan tapi ketika itu belum ada rezeki.

“Sehinggalah dua tahun lalu saya menggunakan Youtube untuk memuat naik nyanyian saya dan dari situ juga saya disunting oleh Billion Charisma Nusantara sebagai penyanyi di bawah pengurusan mereka,” katanya ketika sesi temu bual bersama Zass baru-baru ini.

Namun pada masa yang sama, penyanyi berusia 23 tahun ini menyedari kejayaan seseorang penyanyi juga terletak kepada rezeki masing-masing.

“Ada penyanyi yang tidak perlukan masa yang lama untuk dikenali dan ada juga sebaliknya.

“Bagi saya itu semua adalah atas rezeki masing-masing selain kerja keras yang dilakukan. Sebagai penyanyi yang baru, saya  tidak mahu terlalu memikirkan soal itu malah saya hanya perlu berusaha dan fokus untuk buat yang terbaik dan selebihnya bergantung kepada rezeki,” ujarnya.

Single kedua

Bercakap mengenai perjalanan kariernya, anak sulung daripada tiga beradik ini memberitahu dorongan ibu bapa adalah kekuatan yang dimilikinya untuk meneruskan minatnya terhadap muzik.

“Tipulah kalau saya tidak pernah kecewa, tapi semangat yang diberikan ibu bapa membuatkan saya kuat untuk teruskan kerjaya ini.

“Kalau boleh saya mahu bersaing secara sihat dan bagi saya ia juga memberi kesan yang positif kepada saya,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Irfan bakal tampil dengan single ke duanya ‘Satu Lagu Untukmu’ hasil kolaborasi bersama Stella Band dari Indonesia.

“Alhamdulillah, biarpun tidaklah begitu popular, tapi single pertama saya Rindu Kala Mimpi yang dilancarkan tahun lalu mendapat sambutan yang memuaskan.

“Sebagai permulaan, saya sambutan itu sudah cukup baik dan saya harus perbaiki lebih banyak lagi untuk lagu-lagu seterusnya.

“Insya-ALLAH, Ogos ini saya akan tampil dengan single kedua dan setakat ini ia sudah pun mula dimainkan di beberapa stesen radio di sini,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Powered by Blogger.