F Ippo Hafiz popular kerana OST | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ippo Hafiz popular kerana OST

IPPO Hafiz tidak dinafikan adalah antara nama baharu yang sedang mewarnai industri muzik tempatan kini.

Lebih menarik, rata-rata lagu yang dicipta khas untuk dijadikan runut bunyi drama bersiri popular berjaya mencetuskan fenomena yang tersendiri.

Biarpun namanya tidaklah sepopular karya-karya yang dihasilkan, bagi Ippo setakat ini sambutan itu sudah cukup buat dirinya bangga.

“Alhamdulillah, populariti memang ada pada lagu-lagu yang saya hasilkan. Sebenarnya, itu sudah cukup buat saya bangga dan lega kerana tidak mustahil satu hari nanti, peminat lagu-lagu ini akan mengenali saya.

“Insya-ALLAH, saya tidak akan berputus asa untuk terus memperkenalkan diri sehingga peminat benar-benar mengenali siapa penyanyi lagu-lagu yang mereka suka,” jelasnya ketika sidang media pelancaran album Ippo Hafiz, baru-baru ini.

Menyelak semula perjalanan awal, Ippo akui menghasilkan runut bunyi drama bukanlah strategi yang diaturkan untuk memperkenalkan bakatnya namun ianya berlaku secara kebetulan.

“Kalau ditanya mengenai fokus awal, sebenarnya saya mahu bergelar sebagai komposer dan penerbit yang berjaya tetapi rezeki menyanyi datang terlebih dahulu.

“Sebelum menyanyi, saya pernah menjadi komposer kepada Azizi AF musim pertama, dan pada masa yang sama banyak terlibat dengan kerja di belakang tabir dengan menghasilkan demo untuk runut bunyi drama.

“Pada 2012, lagu pertama saya Irama Kita dijadikan runut bunyi drama Jika Itu Bukan Takdirku dan sejak itu saya terus aktif meneruskan kerjaya ini dalam drama-drama popular lain seperti Jika Itu Bukan Takdirku, Teman Lelaki Upahan dan Cinta Si Wedding Planner,” ujarnya.

Setiap lagu yang dihasilkan nyata berjaya memberi kesan yang mendalam sekaligus memenuhi cita rasa pendengarnya.

“Ada antara lagu-lagu saya dicipta khas untuk drama dan ada juga dihasilkan oleh saya sendiri berdasarkan pelbagai kisah.

“Saya seorang yang gemar membaca novel dan menonton drama pelbagai genre dan dari situlah pelbagai inspirasi yang saya dapat untuk hasilkan lagu,” katanya.
Powered by Blogger.