F Inteam cipta nama di Thailand | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Inteam cipta nama di Thailand

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan nasyid Inteam bagaikan menyepi daripada dunia seni tanah air. Apabila kelibat mereka kurang kelihatan di media massa, maka timbul tanda-tanya di kalangan peminat, apakah kumpulan terbabit sudah pun berkubur? Ketika diajukan soalan terbabit kepada ketua kumpulan berkenaan, Mohd Syahril Abd Khalid, beliau hanya tergelak kecil. "Inteam masih ada. Cuma kami sibuk menguruskan syarikat sendiri, Inteam Records Sdn Bhd, selain beberapa anak syarikat di bawahnya. Walaupun begitu, aktiviti nasyid tetap berjalan seperti biasa. "Sejak dua tahun kebelakangan ini, kami sebenarnya kerap berulang-alik ke Thailand kerana memenuhi jemputan persembahan di sana. "Alhamdulillah, setiap kali persembahan, sama ada bagi program kecil atau besar, paling kurang 3,000 hingga 5,000 orang hadir. Ternyata, sambutan peminat di sana sangat memberangsangkan," kata Syahril. Katanya, sambutan diberikan itu bagai menyamai zaman kegemilangan kumpulan berkenaan, 15 tahun dulu, ketika mereka cukup dikenali dengan lagu Nur Kasih dan Kasih Kekasih. "Sambutan positif itu perkembangan yang baik kepada industri nasyid khususnya, selain kecenderungan masyarakat Islam Thailand terhadap muzik itu umumnya. "Rata-rata penduduk Thailand semakin cenderung untuk mendekati dan menghayati Islam dengan lebih mendalam. Hiburan berunsur nasyid membuka ruang lebih besar dan mesra kepada masyarakat untuk berjinak-jinak dan kembali kepada agama," katanya. Menurutnya, antara program yang mendapat sambutan hangat ialah persembahan terbuka Inteam bersama artis nasyid tempatan di Narathiwat, baru-baru ini. "Program terbuka itu berjaya menarik hampir 15,000 orang dan menyebabkan kesesakan trafik lebih satu kilometer. Terbaharu, Inteam menjayakan konsert live #SuratCinta yang berlangsung di dua lokasi, masing-masing Prince Songkhla University, Pattani dan Rajabhat University, Yala. "Lagu #SuratCinta sendiri menjadi fenomena di sana. Pada sebuah pertandingan nasyid, ia menjadi lagu utama yang wajib dinyanyikan oleh peserta. Bayangkan, pertandingan itu saja disertai oleh kira-kira 90 kumpulan nasyid. "Di Malaysia pula, #SuratCinta sudah bertapak di Carta Nasyid IKIM selama hampir 13 minggu. Terbaru, bagi minggu ke-14, #SuratCinta berjaya menduduki juara carta," katanya. Inteam juga kini sibuk di studio bagi menyiapkan rakaman single baharu mereka yang menggabungkan dua komposer dan penulis lirik terkemuka, Isman Hijjaz serta Ito Lara. Kedua-duanya pernah menghasilkan lagu hit mereka, Kasih Kekasih, 16 tahun lalu. Selain Syahril, Inteam turut dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.


Powered by Blogger.