F Impian Zul Ariffin terlaksana | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Impian Zul Ariffin terlaksana

LATIHAN ala kombat, baju seragam seberat 20 kilogram (kg) antara cabaran yang perlu dilalui oleh aktor, Zul Ariffin bagi menjayakan peranan sebagai anggota Unit Tindakan Khas (UTK) menerusi filem aksi terbaharu, J Revolusi.

Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, filem terbitan Infinitus Productions dan Grand Brilliance ini telah melunaskan impiannya untuk terlibat dalam filem aksi.

“Saya memegang watak sebagai Jay Zulkarnain, anggota UTK yang sangat terlatih dan digeruni pengganas negara. Di dalam filem ini, saya perlu menyelamatkan adik saya, Dian (Nur Fazura), yang ditangkap oleh penjenayah misteri.

“Filem ini memang banyak babak aksi dan pertempuran termasuk ala kombat. Bayangkan apabila melibatkan babak dalam satu platun atau formasi, hanya saya pelakon dan yang lain adalah anggota UTK yang sebenar.

“Secara jujurnya, saya memang dah lama teringin untuk berlakon dalam filem aksi. Malah, saya rasa kalau tanya mana-mana pelakon lelaki lain pun, mereka pasti teringin untuk berlakon di dalam filem aksi, biarpun sekali,” katanya kepada Zass.

Mengimbau persediaannya untuk terlibat di dalam filem ini, aktor berusia 30 tahun ini berkata, dia terlebih dahulu menjalani latihan selama sebulan setengah sebelum memasuki set penggambaran.

“Saya menjalani penggambaran dengan sebuah pusat latihan yang memang menjurus kepada latihan kombat dan mereka mengajar bagaimana untuk berlawan dengan mereka yang menggunakan pisau dan sebagainya.

“Bagi saya, pengalaman dalam menjalani latihan itu adalah satu pengalaman yang berharga untuk saya,” katanya.

Tambah Zul, pengalamannya terlibat di dalam drama Gerak Khas lapan tahun lalu juga banyak membantunya dari segi persediaan mental dan fizikal.

“Tidak dinafikan, saya banyak menggunakan pengalaman saya semasa terlibat di dalam drama Gerak Khas untuk diguna pakai di dalam filem ini. Bagi saya apabila sudah terlibat dengan filem aksi, lebih-lebih lagi anggota unit beruniform, tiada istilah untuk bermanja.

“Fizikal dan mental perlu sedia kerana ada ketikanya kita perlu bekerja sehari suntuk, perlu lasak dan kalau ada calar balar ke bengkak ke, itu perkara biasa. Malah, kita perlu pastikan kita berstamina untuk terlibat di dalam filem seperti ini.

“Malah, saya juga tahu bagaimana seriusnya polis melihat pelakon yang membawa watak sebagai anggota polis kerana mereka mahu kami ada rasa bangga menyarung uniform itu,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada anggota UTK dan polis yang banyak membantunya dalam menjayakan watak Jay Zulkarnain.

Bersedia untuk dibandingkan dengan filem Polis Evo, Zul juga berterima kasih kepada mereka yang terlibat di dalam filem berkenaan, kerana berjaya membuka mata orang luar terhadap polis.

“Mereka perlu ingat, Polis Evo dan J Revolusi adalah dua cabang yang berlainan.

“Macam Polis Evo, Sam (Shaheizy) dibenarkan pakai singlet dan vest, tetapi anggota UTK ada seragam mereka sendiri yang perlu dipakai bila operasi. Apa pun tonton dahulu J Revolusi nanti dan baharulah buat perbandingan,” katanya.



Tiada sengketa

Sementara itu, Zul yang kembali bekerja bersama bekas kekasihnya, Gayatri Su-lin Pillai, yang mewakili Infinitus Productions selaku Penerbit menegaskan tiada sengketa yang wujud antara mereka berdua biarpun hubungan mereka sudah berakhir.

Ujar Zul, mereka sama-sama bersikap profesional dan tidak ada masalah untuk berbual ketika berada di produksi.

“Sejak berlakon filem Penanggal lagi saya sudah ingatkan dia, kalau rasa saya tidak sesuai dan tidak cukup bagus, jangan ambil saya. Kalau rasa watak itu memang sesuai untuk saya, saya sedia terima.

“Tetapi kalau tidak, saya boleh terima dan tidak ada masalah sekiranya mereka mempunyai pilihan lain. Malah, saya juga tidak kisah diberikan watak kecil seandainya itu yang bersesuaian buat saya.

“Tidak ada masalah yang timbul antara kami dan kesibukan di lokasi juga membuatkan kami tidak ada masa untuk bermasam muka,” jelasnya.

Tambah Zul lagi, dia berharap kisah peribadi terutamanya kisah percintaan mengenainya tidak lagi menjadi perhatian dan keutamaan, sebaliknya dia mahu cerita kerjayanya lebih menonjol pada masa akan datang.
Powered by Blogger.