F Hisyam tak bertemu anak sebulan kerana sibuk | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Hisyam tak bertemu anak sebulan kerana sibuk

Pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid berhasrat untuk membawa dua anaknya tinggal di Kuala Lumpur namun enggan terburu-buru berbuat demikian kerana ingin memastikan keadaan kewangannya stabil terlebih dulu. Hisyam, 31, menganggap cabaran terpaksa berjauhan dengan dua anaknya itu sebagai pengorbanan yang dibuat apabila memilih berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan minatnya dalam lakonan. "Sudah sebulan lebih tidak berjumpa dengan anak-anak kerana saya sibuk. Sukar untuk saya ungkapkan perasaan rindu yang terbuku di dada namun mujur juga dengan adanya teknologi seperti Skype, Facetime dan pelbagai lagi yang mendekatkan hubungan kami. "Saya mempunyai perancangan untuk membawa mereka tinggal bersama di Kuala Lumpur tetapi saya perlu pastikan kedudukan kewangan stabil dulu. Saya tidak mahu tergesa-gesa memindahkan mereka ke sini kerana masih terikat dengan jadual persekolahan. "Ketika ini, anak-anak tinggal bersama ibu saya di Singapura. Ini adalah antara pengorbanan yang harus dibuat selepas memilih untuk mencari rezeki di Malaysia. Biarpun rindu, saya terpaksa melawan perasaan itu demi mencari sesuap nasi," katanya.

Hisyam memulakan kerjaya seni di Malaysia pada tahun 2013 ketika menerima tawaran menjayakan sebuah program sempena Ramadan. Pada masa sama, Hisyam turut ditawarkan membintangi drama rantaian, Ariana Rose yang berjaya melonjakkan namanya. Mengulas mengenai pembabitannya sebagai antara teraju bagi drama bersiri Karipap Strawberri, Hisyam berkata, tawaran menjayakan watak sebagai bapa itu diterima bagi melepaskan rindu yang terbuku terhadap dua anaknya. Hisyam juga banyak meluangkan masa di set penggambaran bersama pelakon kanak-kanak, Raykal Iskandar yang berusia hampir sebaya dengan anak lelakinya.


Powered by Blogger.