F Hati Semakin Terbuka Mahu Berhijab Sejak Jual Tudung | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Hati Semakin Terbuka Mahu Berhijab Sejak Jual Tudung

Aktres Anzalna Nasir, 28, mengakui hatinya semakin terbuka ke arah mahu berhijab selepas menceburi perniagaan tudung sejak beberapa bulan lalu.

Anzalna atau nama sebenarnya Anzalna Mohd Nasir, berkolaborasi bersama jutawan kosmetik, Dato Aliff Syukri, tampil menerusi jenamanya sendiri, Anzel Scarf By Anzalna.

Menurut pelakon drama fenomena Memori Cinta Suraya ini, meskipun dia masih belum bertudung namun penglibatannya dalam perniagaan tersebut memberi kesempatan buat diri untuk bertudung satu hari nanti.

"Walaupun saya belum bertudung tapi apabila orang beli tudung saya, sekurang-kurangnya saya dapat juga pahala.

"Sebenarnya sejak menceburi perniagaan ini, ia semakin mengalakkan saya ke arah mahu bertudung. Tetapi saya tidak mahu lah pakai tudung hanya kerana pujian orang yang mengatakan saya pakai tudung nampak cantik apabila berhijab. Saya mahu saya pakai biar dengan rela hati.

"Sekarang pun saya sudah mula cuba-cuba memakai tudung. InsyaAllah semoga satu hari nanti saya memperoleh hidayah", dedahnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Inspirasi Raya 2016 Anzel Scarf By Anzalna & Abang Terlajak Laris (ATL), bertempat di hotel Royal Chulan Damansara, pada Khamis.

Kata Anzalna lagi, dia secara tidak langsung memberi ruang kepada pengikut dan peminatnya untuk berniaga.

"Saya jual tudung bukan semata-mata mahu mengaut keuntungan. Tetapi secara tidak langsung saya buka kepada mereka yang mahu berniaga dan menjadi stokis saya.

"Tambahan dengan kolaborasi saya bersama Datuk Aliff Syukri, para stokis saya turut diberi latihan secara percuma dan eksklusif daripada beliau mengenai selok belok bagaimana mahu meningkatkan jualan,"tuturnya.

Anzel Scarf menampilkan dua rekaan iaitu plain dan bercorak dengan perincian kristal sebanyak 75 rekaan. Setakat ini, jenama berkenaan mempunyai tujuh master stokis di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan kariernya, Anzalna mengakui rindu untuk kembali berlakon setelah dua bulan berehat kerana mendirikan rumah tangga.

"Seronok melayan suami dan menguruskan rumah tangga. Tapi dalam sama saya mahu kembali bekerja. Saya rindu nak berlakon.

"Memang ada banyak tawaran tetapi ada yang saya terpaksa tolak memandangkan hampir tiba Ramadan, jadi sebolehnya saya tak mahu ambil apa-apa 'job' sepanjang bulan puasa ni.

"Selepas raya nanti baru saya kembali menjalani penggambaran. Tapi buat masa ini saya tidak boleh berkongsi lanjut mengenai drama tersebut kerana saya belum tandatangani kontrak dengan produksi berkenaan," katanya.

Anzalna bernikah dengan ahli perniagaan Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 28, pada 21 Februari 2016.
Powered by Blogger.