F Gesa FAM ambil tindakan tegas terhadap Kafa | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Gesa FAM ambil tindakan tegas terhadap Kafa

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) berdepan penyingkiran daripada Liga Malaysia seandainya gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemainnya.

Itu adalah tindakan terakhir yang dicadangkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika Kafa terus berdegil menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

Sebagai permulaan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata pihaknya mencadangkan kepada badan induk itu untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak boleh mengenakan tindakan ke atas Kafa memandangkan beberapa perkara masih tertakluk di bawah bidang kuasa FAM iaitu gaji pemain, kontrak dan tindakan tatatertib.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

"Kita harus bekerjasama dengan FAM untuk memberikan maklum balas atau cadangan  berhubung tindakan susulan ke atas Kafa.

"Sekiranya mereka (Kafa) masih gagal menjelaskan hutang berkenaan, kita akan cadangkan kepada FAM agar pasukan terlibat diturunkan beraksi ke Liga Perdana atau lebih teruk lagi disingkirkan daripada Liga Malaysia," katanya.

Kevin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2016 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

"Sekiranya tidak ada tindakan tegas diambil ke atas pasukan yang terlibat, tiada perubahan ketara yang kita boleh saksikan dalam liga kita...Kami (FMLLP) berada di sini untuk membuat pembaharuan (dalam bola sepak Malaysia) tapi pada masa sama, kami turut memerlukan kerjasama daripada pihak lain," tegas Kevin.

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail dalam kenyataan media hari ini mendakwa lima bekas pemain Kelantan masih belum menerima baki tunggakan gaji mereka yang sepatutnya dijelaskan Kafa pada 15 April lepas.

Beliau turut dipetik sebagai berkata pihaknya telah menghantar surat aduan berhubung perkara berkenaan kepada FAM dan berharap badan induk berkenaan dapat mengambil tindakan susulan terhadap Kafa.

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Dalam perkembangan berasingan, Kevin menasihatkan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk tidak mengharapkan geran semata-mata daripada FMLLP untuk menguruskan skuad mereka.

Jelasnya, pasukan terlibat juga harus mempunyai inisiatif sendiri untuk menjana pendapatan pasukan termasuk mengkomersialkan produk pasukan.

Mengambil contoh pasukan dalam saingan Liga Jepun, Kevin berkata setiap pasukan dalam liga berkenaan hanya diberikan sebanyak empat peratus daripada geran yang sepatutnya diperoleh untuk perbelanjaan skuad berkenaan.

"Sekarang ini, ada pasukan mendakwa pendapatan utama sepatutnya datang daripada Liga (Malaysia) tapi ia tidak benar.

"Beberapa pasukan di negara seperti Jepun dan Korea Selatan tidak mengharapkan geran semata-mata untuk menguruskan pasukan kerana sedar pendapatan daripada liga tidak mencukupi,"tegas Kevin.
Powered by Blogger.